MB Johor ulangi kematian Nur Dinie tiada kaitan influenza

Dr Sahruddin (kiri) membuat lawatan di Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Johor di Pusat Beli Belah Paradigm Mall hari ini.
Dr Sahruddin (kiri) membuat lawatan di Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Johor di Pusat Beli Belah Paradigm Mall hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kekal dengan pendirian Hospital Sultanah Aminah (HSA) bahawa kematian Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, tiada kaitan dengan jangkitan Influenza A.

Murid Tahun Satu itu menghembuskan nafas terakhirnya di HSA pada 13 Januari lalu selepas beberapa hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Dr Sahruddinn berkata, perkara utama yang dimaklumkan kepada beliau adalah kanak-kanak tersebut juga disahkan tidak menunjukkan sebarang simptom dijangkiti wabak terbabit.

“Kita dapat daripada pihak HSA memang negatif (jangkitan Influenza A), jadi kenyataan kita memang berpandukan itu. Kalau daripada pihak hospital swasta, saya tidak mahu komen.

“Semua ini juga adalah berpandukan data klinikal dari HSA,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Johor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Pusat Beli Belah Paradigm Mall di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Nur Dinie Damia bukan berpunca influenza

Kenyataan dikeluarkan Dr Sahruddin itu sekali gus menjawab kekecewaan seorang ahli keluarga kanak-kanak berkenaan menerusi laman sosial Facebook yang seakan mendakwa Allahyarham Nur Dinie Damia menghidap Influenza A.

Dalam perkembangan sama, Dr Sahruddin turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik kerana wabak berkenaan adalah perkara biasa yang berlaku di negara hampir setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

“Kena ingat influenza ataupun selesema adalah kes biasa terutama bagi bulan Disember hingga Mac, mungkin kerana pertukaran cuaca atau sebagainya.

“Jadi apa yang penting sekarang semua dapatkan rawatan sekiranya ada menunjukkan simptom dan memastikan aspek kebersihan diambil berat,” katanya.