Kapas Marang Swimathon 2024 terap pakaian renang mesra syariah

Sebahagian daripada 400 peserta yang mengenakan sut renang mesra syariah pada kejohanan Kapas-Marang Swimathon yang diadakan Sabtu lalu. Foto Facebook Beautiful Terengganu Malaysia
Sebahagian daripada 400 peserta yang mengenakan sut renang mesra syariah pada kejohanan Kapas-Marang Swimathon yang diadakan Sabtu lalu. Foto Facebook Beautiful Terengganu Malaysia
A
A
A

KEJOHANAN sukan renang laut terbuka, Kapas-Marang Swimathon 2024 yang berlangsung pada Sabtu lalu mengetengahkan etika pakaian renang mesra syariah kepada semua peserta sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengarah program, Saiful Nizam Kamal Ariffin berkata, walaupun mendapat penyertaan daripada 18 negara luar, kesemua peserta termasuk lelaki dan wanita perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menurutnya, antara digariskan oleh pihak penganjur ialah saranan berpakaian sut renang penuh menutupi bahagian lengan sehingga ke buku lali bagi peserta wanita sementara peserta lelaki pula perlu menutupi bahagian atas badan terutama dari paras pusat hingga ke lutut.

"Bagi peserta lelaki, mereka boleh pakai seluar renang pendek tapi perlu paras tiga suku dan tak boleh mendedahkan bahagian lutut.

"Sebenarnya kita ada sedikit isu apabila terpaksa membatalkan kemenangan peserta tempat kedua dari Perancis kerana bahagian lututnya terdedah ketika tiba di garis penamat.

Seorang peserta berada pada garis penamat dalam acara kejohanan Kapas-Marang Swimathon 2024, Sabtu lalu.
Seorang peserta berada pada garis penamat dalam acara kejohanan Kapas-Marang Swimathon 2024, Sabtu lalu.

"Bagaimanapun, isu tersebut telah ditangani dan peserta berkenaan telah diterangkan mengenai peraturan yang kita laksanakan pada kejohanan kali ini,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Isnin.

Menurut Saiful Nizam, peraturan kejohanan yang memberi penekanan terhadap kepatuhan syariah itu tidak menjadi halangan untuk mereka terus mendapat sambutan daripada peserta luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita akui terdapat sedikit penurunan sambutan dalam 20 peratus berbanding penganjuran pada tahun lalu. Tahun lepas kita ada 520 peserta dari 20 negara, tahun ini jumlah penyertaan menurun kepada seramai 400 peserta dari 19 buah negara termasuk Malaysia.

Seorang peserta tiba dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang.
Seorang peserta tiba dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang.

"Antara yang turut serta pada tahun ini termasuk peserta dari Thailand, Singapura, Filipina, Itali, United Kingdom (UK), Australia, Poland, Hungary, Perancis, Afrika Selatan, India, Taiwan, Indonesia, Jerman, Hong Kong dan Belanda," katanya.

Jelas Saiful Nizam, kejohanan Kapas-Marang Swimathon 2025 akan diteruskan pada tahun hadapan dengan membuat persediaan lebih awal termasuk mempromosikan acara itu ke luar negara.

"Dalam tempoh setahun akan datang kita akan cuba mempromosikan acara ini ke luar negara terutama kepada entiti sukan, persatuan renang luar negara dan lain-lain.

"Kita jangka acara pada tahun depan lebih besar dan lebih meriah," katanya.

Antara aksi cabaran Kapas-Marang Swimathon.
Antara aksi cabaran Kapas-Marang Swimathon.

Kapas-Marang Swimathon merupakan acara cabaran sukan renang laut terbuka bermula dari Pulau Kapas sehingga ke Pantai Kelulut, Marang dengan jarak sejauh 6.5 kilometer.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!