Bayi masih bertali pusat ditemui dalam kotak tepi jalan

Kotak dan kain batik yang ditemui di lokasi kejadian. Bayi perempuan cukup sifat ditemui masih hidup ditinggalkan dalam kotak di atas jalan berhampiran Gua Tempurung, Gopeng pada Ahad.
Kotak dan kain batik yang ditemui di lokasi kejadian. Bayi perempuan cukup sifat ditemui masih hidup ditinggalkan dalam kotak di atas jalan berhampiran Gua Tempurung, Gopeng pada Ahad.
A
A
A

GOPENG - Seorang bayi perempuan baru dilahirkan ditemui berbalut dengan kain batik dalam kotak di tepi jalan berhampiran Gua Tempurung di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, bayi itu ditemui masih hidup dan cukup sifat dengan kesan darah bersama tali pusat dan uri.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 3.15 petang daripada dua pekerja yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melihat lembu peliharaan.

"Ketika menghampiri kawasan itu, mereka ternampak kaki seperti kaki bayi terkeluar dari sebuah kotak yang diletakkan di tepi simpang masuk sebuah pusat pengajian al-quran dan pusat pemulihan akhlak.

"Curiga dengan keadaan itu, mereka mendekati kotak berkenaan sebelum melihat seorang bayi perempuan ditinggalkan hanya dengan berbalut kain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, bayi terbabit berkemungkinan baru ditinggalkan di kawasan itu kurang 12 jam sebelum dijumpai.

Polis menerima maklumat berhubung penemuan bayi perempuan pada jam 3.15 petang daripada dua pekerja yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melihat lembu peliharaan.
Polis menerima maklumat berhubung penemuan bayi perempuan pada jam 3.15 petang daripada dua pekerja yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melihat lembu peliharaan.

Katanya, buat masa ini polis masih membuat siasatan termasuk di sekitar tempat kejadian bagi mengesan suspek terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan penemuan merupakan laluan awam dan tidak berpagar. Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu sisatan.

"Polis juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas tiga penghuni wanita di pusat pengajian itu dan didapati, tiada tanda-tanda telah melahirkan bayi," katanya.

Mohamad Nazri berkata, bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kampar.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dimaklumkan mengenai kes penemuan bayi ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!