Pangsapuri Baiduri digempur, lebih 500 warga asing ditahan

JIM menahan 561 warga asing dalam operasi di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada Sabtu.
JIM menahan 561 warga asing dalam operasi di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada Sabtu.
A
A
A

BERANANG - Kawasan Pangsapuri Baiduri di Bandar Tasik Kesuma, di sini, yang menjadi penempatan ratusan warga asing digempur pada Sabtu.

Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan hasil aduan penduduk itu dijalankan kira-kira jam 12.05 tengah malam melibatkan pemeriksaan ke atas 752 warga asing di tujuh blok.

"Hasil pemeriksaan, kita menahan 561 warga asing terdiri daripada 27 kanak-kanak, 447 lelaki serta 87 wanita berusia lingkungan tiga bulan hingga 55 tahun.

"Paling ramai ditahan ialah Bangladesh iaitu 205 orang, Myanmar (200), Nepal (65), Indonesia (43), Pakistan (38), Sri Lanka (tiga), manakala India, Kemboja, Seirra Leon masing-masing dua dan Cameroon (satu)," katanya kepada pemberita di lokasi operasi di sini pada Sabtu.

JIM menahan 561 warga asing dalam operasi di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada Sabtu.
JIM menahan 561 warga asing dalam operasi di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua tangkapan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk pemeriksaan lanjut sama ada memiliki dokumen atau pas kerja yang sah.

Jelasnya, bagaimanapun mereka yang memiliki dokumen lengkap akan dibebaskan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semasa operasi ada segelintir warga asing ini cuba melarikan diri, namun tindakan itu berjaya digagalkan anggota serbuan.

"Siasatan pasukan operasi mendapati hampir 80 peratus pangsapuri ini didiami warga asing dan kebimbangan penduduk tempatan amat tinggi.

"Kita terima aduan ada yang gelarkan ini 'mini Dhaka'.

"Majoriti warga asing ini sewa rumah dengan bayaran sekitar RM600 hingga RM800 satu unit dan didiami hingga 10 orang," ujarnya.

Ruslin (dua dari kanan) hadir dalam Operasi Penguatkuasaan JIM dengan kerjasama agensi lain di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada Sabtu.
Ruslin (dua dari kanan) hadir dalam Operasi Penguatkuasaan JIM dengan kerjasama agensi lain di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada Sabtu.

Tambah Ruslin, lokasi terbabit juga antara 220 lokasi 'hot spot' warga asing di seluruh negara di mana Selangor adalah tertinggi.

"Warga asing ini bila sudah lama di sini, mereka semakin ramai.

"Apabila ramai, mulalah berniaga, buat aktiviti ekonomi mereka sendiri.

"Kita tidak mahu mereka buat seperti negara mereka dan kita juga akan fokus di penempatan lain.

"Dengan tindakan ini, kita boleh tahu berapa ramai jumlah mereka," katanya.

Tegasnya, operasi berterusan akan dijalankan JIM untuk tindakan tangkapan hingga ke pengusiran.