Piala Sultan Azlan Shah beri bayangan awal

Skuad Speedy Tigers menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah di tempat keempat setelah tewas 2-3 kepada New Zealand di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh pada Sabtu.
Skuad Speedy Tigers menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah di tempat keempat setelah tewas 2-3 kepada New Zealand di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

JEPUN, juara baharu Piala Sultan Azlan Shah dan naib juara Pakistan memberi laungan awal bakal menjadi antara pasukan digeruni pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas memperagakan potensi pada kejohanan jemputan enam negara di Stadium Hoki Azlan Shah,

Skuad Speedy Tigers kendalian Sarjit Singh sejak awal Mac lalu berdepan banyak cabaran perlu ditempuhi untuk mencabar pingat emas Sukan Asia dan mengesahkan kelayakan awal ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik.

Edisi ke-30 berakhir semalam sejak 4 Mei lalu menjadi medan pendedahan dan ujian bakat baharu bagi Malaysia, Jepun Pakistan, Korea Selatan, New Zealand dan Kanada membina skuad mantap untuk kitaran Olimpik seterusnya.

Piala Sultan Azlan Shah memberikan petunjuk awal Sukan Asia (Asiad) 2026 yang menampilkan kuasa hoki utama Asia - Korea Selatan, ranking ke-12 dunia, Malaysia (13), Jepun (15) dan Pakistan (16) melainkan juara Asia India dan wakil tunggal benua Asia yang memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Jepun muncul sebagai pasukan harus diberi perhatian pada Asiad 2026, bukan sahaja sebagai negara tuan rumah tetapi juga kerana persembahan mereka yang memberangsangkan sepanjang Piala Sultan Azlan Shah.

Pengendali Jepun, Yoshihiro Anai, 36, tiba di Ipoh dengan pasukan muda dengan hanya empat pemain memiliki lebih 100 kaps dan tiga melakukan penampilan antarabangsa pertama di kejohanan tersebut dengan purata pemain dalam skuad 18 pemain berusia 24 hingga 17 tahun.

Walaupun kurang pengalaman, Jepun membuktikan status mereka sebagai 'kuda hitam' apabila merungkai prinsip rahsia Samurai untuk meraih gelaran sulung dengan mengejutkan Pakistan 4-1 menerusi penalti 'shoot-out' selepas aksi final berkesudahan 2-2 semalam.

Corak permainan teratur dan benteng pertahanan kebal memberikan cabaran menggerunkan kepada lawan dengan hanya memboloskan tujuh gol sepanjang kejohanan sehingga ke final dan rekod tanpa kalah di liga sepusingan.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang kempen kejohanan, Jepun melakarkan kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan, New Zealand (4-1), Malaysia (2-1), Kanada 3-1) dan seri 1-1 dengan Pakistan di peringkat awal sebelum menjulang piala di pentas final.

Yoshihiro berkata, misi utama pada kejohanan tersebut adalah untuk memperincikan struktur benteng pertahanan, tugas yang dilaksanakan Jepun dengan baik, mengekalkan pertahanan seperti kubu.

Memandang ke hadapan, beliau berhasrat untuk menumpukan pada meningkatkan pembinaan serangan taktikal.

Sementara itu, skuad bimbingan Roelant Oltmans dari Belanda, Pakistan memperagakan kemahiran individu tetapi kekurangan prestasi sebagai berpasukan menyeluruhan berbanding Jepun.

Mereka berhasrat memperbaiki segala kelemahan menjelang kejohanan Piala Negara-Negara dari 31 Mei hingga 9 Jun ini di Poland, sebagai sebahagian daripada cita-cita menyertai Liga Pro.

Tuan rumah Malaysia yang gagal mempertahankan kejuaraan dengan menduduki tempat keempat mempunyai barisan pemain dengan purata usia 26 tahun termasuk empat berusia 30 tahun ke atas dengan lebih 100 kaps iaitu ketua pasukan Muhammad Marhan Jalil (34), Mohammad Fitri Saari (31), Faizal Saari (33), dan penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman berusia 32 tahun.

Speedy Tigers muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 20 gol dalam enam perlawanan dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dinobatkan sebagai 'Penjaring Terbanyak' kejohanan dengan lapan jaringan.

Bagaimanapun, benteng pertahanan negara perlu meminimumkan kesilapan dan memperbaiki struktur selepas bolos 15 gol secara keseluruhan selain juga mesti lebih terperinci dalam peluang menyerang, setelah hanya menterjemahkan lima gol daripada 24 pukulan sudut penalti dengan kadar kejayaan 20.1 peratus.

Sarjit berkata, bahawa kumpulan pemain muda dalam pasukan itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem dengan setiap pemain memerlukan kira-kira 40 perlawanan antarabangsa untuk mencapai prestasi puncak.

Berbekalkan masa kira-kira dua tahun untuk membentuk pasukan mantap bagi Sukan Asia 2026, dijadualkan dari 19 September hingga 4 Oktober, Sarjit berdepan cabaran untuk memperhalusi skuad 30 pemain untuk bersaing merebut emas dan tiket ke LA28, selepas kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik dalam edisi Sydney 2000.

Skuad negara memerlukan peningkatan ketara melangkaui siri jelajah antarabangsa untuk bersaing di benua Asia, layak ke Sukan Olimpik dan berentap dengan 10 pasukan terbaik dunia.

Penyertaan pemain negara secara berterusan dengan pertandingan kelab di Eropah dan menyertai Liga Pro yang menampilkan sembilan pasukan terbaik dunia termasuk Argentina, Australia, Belanda, Jerman, Great Britain dan India menjadi faktor penting untuk pembangunan hoki negara.

Melibatkan diri dalam perlawanan berintensiti tinggi dengan pasukan peringkat teratas sudah pasti akan meningkatkan standard hoki Malaysia walaupun pembiayaan masih menjadi kebimbangan.

Kelayakan ke Liga Pro merupakan cabaran kerana hanya juara Piala Negara-Negara yang layak.

Selain Malaysia dan Pakistan, peserta Piala Negara-Nagara lain adalah termasuk Austria, Kanada, Perancis, Korea Selatan, New Zealand, Afrika Selatan dan tuan rumah Poland. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!