Darjah kebesaran, pingat 'asing' tanpa perkenan Agong tidak sah diguna pakai - MDDM

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Darjah kebesaran, pingat atau bintang kehormatan yang diterima seseorang warganegara dari negara luar tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, adalah tidak sah dan tidak diiktiraf untuk digunakan dalam negara.

Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, ia sepertimana diperuntuk di bawah Akta Kesalahan yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

"Hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua Negeri yang boleh memberi anugerah yang sah kepada seseorang individu,” katanya kepada pemberita selepas menyertai kejohanan amal golf anjuran MDDM di Bukit Kiara di sini pada Ahad, bagi mengulas isu penyalahgunaan gelaran yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Awalan berharap kesemua negeri dapat menerima pakai Akta 787 bagi membendung penyalahgunaan gelaran dan mereka yang mengguna pakai anugerah asing tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, ketika ini, penguatkuasaan akta itu yang diwartakan sejak 2018, masih belum dibuat secara menyeluruh, memandangkan masih ada negeri yang belum menerima pakai atau mewujudkan enakmen serupa di negeri masing-masing.

"Mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta itu, boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara maksimum 20 tahun, mengikut tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!