PRK KKB bukti pengundi Melayu ubah sikap - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan kemenangan calon mewakili Kerajaan Perpaduan membuktikan pengundi Melayu sudah berubah sikap dan mula menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman serta agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran meraih undi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia menunjukkan rakyat mula memahami Kerajaan Perpaduan yang terbangun atas titah Yang di-Pertuan Agong itu tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera.

Ujar beliau, sentimen itu terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

“Insya-ALLAH UMNO sebagai salah satu daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui oleh semua.

“Yang penting landskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menewaskan tiga lagi calon masing-masing dari Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia dan Bebas dengan majoriti 3,869 undi selepas meraih 14,000 undi.

Pesaing terdekat dari PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.

Sementara itu, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh jentera termasuk bahagian sayap UMNO yang diketuai oleh Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam memastikan kemenangan calon PH.

Artikel Berkaitan:

“Hasil kerja kuat semua juga termasuk sokongan dan dukungan jentera UMNO daripada negeri-negeri juga telah memungkinkan untuk kemenangan di enam daripada lapan pusat daerah mengundi (PDM) majoriti pengundi Melayu berbanding keputusan pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas yang menyaksikan PH kalah di semua lapan PDM ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!