X

Kindly register in order to view this article
!

'Anak tak pandai berenang, tak pernah mandi pantai'

Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, Muhammad Zul Fahmi Zuki, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan
A
A

DUNGUN - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara di sini dikatakan sebelum ini tidak pernah mandi jika datang ke pantai.

Bapanya, Zuki Ab Razak, 53, berkata, dia tidak menyangka anaknya mandi di pantai bersama lima rakannya petang semalam kerana anak kedua dari lima beradik itu juga tidak tahu berenang.

"Sejak kecil Zul Fahmi tidak pernah mandi laut sekiranya dibawa ke pantai dan dia juga tidak tahu berenang.

"Sudah tiga minggu tak balik ke rumah di Kemaman sebab sibuk berlatih untuk pemilihan satu kejohanan olahraga yang akan diadakan hari ini di PSMZA," katanya di lokasi kejadian awal pagi ini.

Menurutnya, anaknya yang aktif bersukan itu bersungguh-sungguh ingin menyertai pemilihan kejohanan olahraga pada kali ini.

Dalam pada itu Zuki berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dihubungi ibu kepada seorang daripada rakan anaknya yang juga hilang dipercayai lemas jam 7 malam tadi.

"Walaupun sudah nak terima kenyataan anak saya mungkin lemas, tapi saya tetap reda dan berharap jasad anak dan tiga lagi rakannya ditemui secepat mungkin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat pelajar Politeknik Dungun dikhuatiri lemas

Sementara itu, menurut seorang daripada saksi yang juga rakan mangsa, Mohamed Irfan Kamarulzaman, 21, sebelum kejadian beliau dan seorang lagi rakan Mohammad Hazman Mohd Zamili, 21, cuba membantu menyelamatkan empat rakan mereka, namun gagal berikutan ombak besar.

"Kami cuba bantu mereka dengan melemparkan pelampung yang dipinjam daripada orang awam yang ada di sini tapi gagal.

"Saya tak berani pergi ke tempat mereka kerana tidak tahu berenang. Hanya Amir (Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee) yang dilihat tenggelam timbul sebelum dia turut tenggelam seperti rakan lain," katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, Muhammad Zul Fahmi; Mohamad Amir Izzudin; Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, yang kesemuanya berumur 21 tahun dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Salahuddin Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diperluaskan kepada 3km dari tempat mangsa dikatakan lemas.

"Untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa ini pihak bomba akan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan rondaan menggunakan bot pada jarak 2 batu nautika dari pantai," katanya. - Bernama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus