Langkah Mbappe

Perlawanan di Parc des Princes pada Ahad mungkin menjadi aksi terakhir Mbappe bersama PSG. Foto AFP
Perlawanan di Parc des Princes pada Ahad mungkin menjadi aksi terakhir Mbappe bersama PSG. Foto AFP
A
A
A

PEMAIN sensasi, Kylian Mbappe membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila mengesahkan akan meninggalkan juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) akhir musim ini untuk berkelana ke Sepanyol menyertai Real Madrid.

Perkembangan tersebut dikongsi pemain berusia 25 tahun itu menerusi laman sosialnya pada awal pagi Sabtu.

"Saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa ia adalah musim terakhir saya di PSG. Saya tidak akan menyambung kontrak dan ia akan berakhir beberapa minggu lagi.

"Perlawanan di Parc des Princes pada Isnin mungkin aksi terakhir bersama PSG," katanya dalam satu video yang disiarkan di Instagramnya.

PSG mengesahkan kejuaraan Ligue 1 ke-10 dalam 12 musim terakhir dan akan menjulang trofi itu selepas menentang Toulouse pada awal pagi Isnin.

Mbappe akan meninggalkan PSG akhir musim ini untuk menyertai Real Madrid. Foto AFP
Mbappe akan meninggalkan PSG akhir musim ini untuk menyertai Real Madrid. Foto AFP

Perlawanan tersebut menjadi aksi terakhir mereka di halaman sendiri.

Ini bermakna Mbappe akan menamatkan tempoh tujuh musimnya di PSG tanpa sebarang trofi di peringkat kelab elit Eropah.

Artikel Berkaitan:

"Perasaan dan emosi saya bercampur baur. Bertahun-tahun saya di PSG, mempunyai peluang dan penghormatan besar untuk menjadi ahli kelab terbesar Perancis. Salah satu yang terbaik di dunia.

"Kelab (PSG) beri pelbagai peluang untuk saya berkembang sebagai pemain bola sepak. Bukan mudah tetapi sepanjang tempoh itu, banyak kejayaan dan piala diraih biarpun berdepan banyak tekanan.

"Ia sukar (tinggalkan PSG) dan saya tidak pernah terfikir ia akan menjadi sesukar ini untuk mengumumkannya, tetapi saya perlukan cabaran baharu, selepas tujuh tahun di PSG," katanya.

Sebagai rekod, Mbappe memenangi enam kejuaraan Ligue 1, tiga kali Piala Perancis dan dua Piala Liga.

Sepanjang musim ini, kapten Perancis itu sudah menyumbat 43 gol dalam semua kejohanan dengan 26 jaringan hadir dari Ligue 1.

Di pentas antarabangsa, Mbappe menjuarai Piala Dunia bersama Perancis pada edisi 2018.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!