Zii Jia iringi empat wakil negara ke Paris 2024

Zii Jia ketika penampilan pertama di Tokyo 2020. Foto Bernama
Zii Jia ketika penampilan pertama di Tokyo 2020. Foto Bernama
A
A
A

DUA pemain perseorangan dan tiga beregu badminton negara secara rasmi disahkan slot penampilan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan menyingkap tirai di Perancis bermula pada dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kemaskini terbaharu menyenaraikan atlet sukan badan induk tersebut yang akan menggalas cabaran negara masing-masing pada temasya dunia di ibu kota Paris itu.

Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia akan mengetuai cabaran yang menyaksikan ini penampilan kedua bintang kelahiran Alor Setar, Kedah nombor 11 dunia berkenaan di temasya tersebut selepas Tokyo 2020 sebelum ini.

"Secara jujur saya bukan nak sombong, tapi saya mahu target untuk 'qualify' dan menang Olimpik.

Saya tahu ada potensi untuk menang di Olimpik, namun, saya sedar masih bergelut dengan prestasi.

"Sebab utama saya tidak meraikannya adalah seperti yang saya katakan, sasaran utama adalah untuk memenangi Olimpik, bukannya layak," kata Zii Jia.

Dalam pada itu Zii Jia juga mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk melalui proses layak ke Sukan Olimpik.

"Bukan sesuatu yang mudah macam Ng Tze Yong, dia hampir 'qualify' tapi sekali 'injured' habis terus. Sejujurnya saya rasa simpati dengan dia.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun berpesan pada diri jangan beri tekanan berlebihan kepada diri sebab main dua kali Olimpik, ini satu pencapaian walaupun belum menang medal.

"Tapi sekurang-kurangnya dapat layak ini satu motivasi kepada saya. Kita pun tidak tahu next Olimpik, saya boleh bersaing atau sebaliknya. Jadi saya harap bebas kecederaan dan 'condition' pada tahap terbaik untuk bersaing di Olimpik," katanya.

Perjuangan emas di Tokyo 2020 Zii Jia sebelum ini berakhir di tangan pemenang pingat emas Rio 2016 dari China, Chen Long, 21-8, 19-21, 15-21 pada pusingan kalah mati di Mushashino Forest Sport Plaza, bagi berdepan Taiwan, Chou Tien Chen.

Pencapaian terbaik negara dalam acara perseorangan menerusi Datuk Lee Chong Wei yang membutirkan tiga perak secara hatrik bermula dari edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Sebelum itu, Datuk Rashid Sidek membuka gelanggang pingat negara di temasya edisi Atlanta 1996 apabila membawa pulang gangsa dari Amerika Syarikat.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang baru naik satu anak tangga ranking BWF dari kedudukan kelima pastinya menjadikan azimat kilauan gangsa edisi Tokyo 2020 lalu dos penggalak untuk smash lebih padu berdepan kelibat Liang Wei Keng-Wang Chang (China), Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae (Korea Selatan) dan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (India).

Edisi Tokyo 2020, pemburuan emas Aaron Chia-Wooi Yik dihentikan wakil China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, straight set 22-24, 13-21 pada aksi separuh akhir.

Namun, Aaron-Wooi Yik menebus kehampaan itu apabila meraih gangsa selepas bangkit menewaskan pasangan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14.

Pencapaian terbaik kem beregu lelaki negara menerusi perak yang dijelmakan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (edisi Rio de Janeiro 2016), Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Atlanta 1996) tewas kepada gandingan Indonesia, Rexy Mainaky - Ricky Subagja.

Kilauan pingat pertama kem badminton negara sebelum itu diinspirasikan pasangan beregu legenda, Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek yang menghadirkan gangsa dari edisi Barcelona 1992 - pentas menyaksikan emas perak milik - Park Joo-bong-Kim Moon-soo (Korea Selatan), Eddy Hartono-Rudy Gunawan (Indonesia).

Goh Jin Wei, yang berstatus nombor 32 dunia pula yang baru sahaja memanaskan badan di Kejuaraan Piala Uber Chengdu 2024, akan menggalas cabaran bagi saingan perseorangan wanita dengan status penampilan pertama.

Gandingan Pearly Tan-M Thinaah, mewakili kem beregu wanita juga antara sandaran menghadirkan cabaran dengan status ranking ke-14 dunia pada ketika ini tampil dengan penampilan pertama.

Begitu juga penampilan pertama Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, berstatus nombor sembilan dunia melengkapkan senarai atlet badminton yang layak ke Paris 2024, menggalas cabaran bagi acara beregu campuran.

Pencapaian terbaik kem campuran negara di temasya Olimpik menerusi pasangan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menjelmakan perak dari edisi Rio de Janeiro 2016 selepas tewas kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Nasir dari Indonesia.

INFO

Paris 2024

Perseorangan Lelaki

Lee Zii Jia

Perseorangan Wanita

Goh Jin Wei (Debut)

Beregu Lelaki

Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Beregu Wanita

Pearly Tan-M Thinaah (Debut)

Beregu Campuran

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (Debut)

Tokyo 2020

Perseorangan Lelaki

Emas - Viktor Axelsen (Denmark)

Perak - Chen Long (China)

Gangsa - Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia)

Perseorangan Wanita

Emas - Chen Yufie (China)

Perak - Tai Tzu-ying (Taiwan)

Gangsa - PV Sindhu (India)

Beregu Lelaki

Emas - Lee Yang - Wang Chi-lin

Perak - Lin Junhui-Liu Yuchen

Gangsa - Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Beregu Wanita

Emas - Greysia Polil-Apriyani Rahayu (Indonesia)

Perak - Chen Qingchen-Jia Yifan (China)

Gangsa - Kim So-yeong-Kong Hee-yong (Korea Selatan)

Beregu Campuran

Emas - Wang Yilyu-Huang Dongping

Perak - Zheng Siwei-Huang Yaqiong(China)

Gangsa - Yuta Watanabe - Arisa Higashino (Jepun)