X

Kindly register in order to view this article
!

Sokong 13 Mei raikan #MalaysiaHarmoni

Muka hadapan Sinar Harian hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Cadangan untuk menjadikan tarikh 13 Mei 2020 sebagai Hari Merayakan #MalaysiaHarmoni mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Cadangan itu dilihat relevan agar masyarakat pelbagai kaum di negara ini sentiasa menanamkan sikap bersatu padu dan hidup dalam harmoni.

Presiden Gerakan Pelajar India Se-Malaysia, Arvend Aplasamy berkata, walaupun tarikh tersebut dilihat menjadi titik hitam kepada negara, namun ia perlu dijadikan pengajaran supaya rakyat di negara ini perlu mengawal diri demi perpaduan kaum.

“Pada saya ia satu cadangan yang cukup baik supaya kita sentiasa berhati-hati agar jangan sekali-kali bermain sentimen perkauman dan agama. Kita tidak mahu peristiwa hitam itu berulang kembali.

“Idea-idea drastik seperti ini perlu untuk merapatkan semula jurang antara kaum kerana sekarang bukan masa untuk kita cari perbezaan, sebaliknya perlu cari titik persamaan agar hubungan erat dapat dikekalkan.

“Bila ada idea bernas serta usaha seperti ini, ia dapat membuka minda rakyat supaya rakyat berbilang kaum dan pegangan agama dapat bergerak lebih dekat kepada perpaduan antara kaum dan integrasi nasional,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub untuk memilih tarikh 13 Mei 2020 sebagai kemuncak kempen meraikan Malaysia harmoni dan turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama menjayakan kempen Uninstall Kebencian, Reboot #MalaysiaHarmoni.

Tegas Hussamuddin, selama ini 13 Mei menjadi tarikh dan simbol perpecahan akibat peristiwa hitam selepas Pilihan Raya Umum ke-3.

ARTIKEL BERKAITAN: Erat hubungan semakin rapuh

Elak syak wasangka antara kaum, kata penganalisis

Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Dr Madeline Berma berkata, isu perpaduan dalam negara kini sudah berada pada persimpangan dan boleh membawa kemusnahan jika tidak diuruskan dengan baik.

"Perlu ada satu usaha yang sistematik dan tidak boleh isu ini dibiarkan dengan harapan masalah yang berlaku dapat selesai dengan sendiri

"Usaha sistematik ini mesti datang daripada rakyat sendiri, kita sebagai rakyat perlu lakukan sesama kita untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Menurutnya, tidak boleh biarkan kerajaan dan agensi kerajaan sahaja untuk wujudkan program atau bantuan kewangan.

"Di peringkat individu bagaimana kita berinteraksi dengan etnik lain dan di peringkat komuniti seperti orang Melayu dengan bukan Melayu dan ketiga ialah peringkat kerajaan dan pertubuhan untuk memainkan peranan mereka.

"Satu lagi ialah peranan pihak berkuasa agama, kumpulan-kumpulan agama termasuk ketua-ketua masyarakat untuk membantu menyelesaikan masalah yang timbul dalam kalangan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Madeline mencadangkan supaya banyak program dilakukan antara 31 Ogos hingga 16 September untuk mengeratkan perpaduan antara rakyat.

"Tetapi harus diingat, jangan sekadar perayaan tetapi mestilah ada aktiviti yang betul dan yang paling penting jangan benarkan atau biarkan ahli politik menguasai program yang dilakukan," tegas beliau.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid pula berkata, peristiwa berdarah rusuhan kaum paling dahsyat di Malaysia pada 13 Mei 1969 perlu dijadikan pengajaran betapa pentingnya perpaduan serta keharmonian kaum.

“Saya menyokong penuh hasrat Datuk (Hussamuddin) untuk menjadikan 13 Mei 2020 sebagai tarikh meraikan Malaysia Harmoni.

“Ia (cadangan) sangat relevan kerana ini salah satu cara untuk mengembalikan semula ingatan rakyat tentang peristiwa hitam yang pernah berlaku di Malaysia supaya dijadikan iktibar, sebagai sempadan untuk kita supaya ia tidak berulang.

“Tarikh ini boleh dijadikan ‘reverse psychology’ atau psikologi terbalik untuk membolehkan masyarakat berfikir perlunya kita menjadi rakyat yang mementingkan keamanan, keharmonian serta perpaduan sesama kaum,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyokong usaha berkenaan dalam mengeratkan semula hubungan kaum yang kini semakin rapuh.

Jelasnya, pemimpin politik tidak kira kerajaan atau pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), agamawan, pendidik dan rakyat amnya perlu menyokong hasrat murni ini bagi mengembalikan semula keharmonian kaum.

“Jika semua pihak bersatu hati, buang kebencian sesama kita serta ketepikan perbezaan kaum, tidak mustahil lama kelamaan serta sedikit demi sedikit unsur prasangka antara etnik dapat dipinggirkan dan dibuang selamanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu ahli politik berhenti memainkan sentimen perkauman dan menyentuh isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan ketegangan dalam negara.

“Dalam era teknologi masa kini, ada segelintir individu yang memberi komen-komen melampau dalam media sosial, jika tidak diambil tindakan tegas terhadap mereka, ini akan menyebabkan individu lain melakukan perkara sama dan tindakan provokatif sebegini amat berbahaya kepada keharmonian negara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!