Dua buruh Indonesia maut dihempap dinding parit konkrit

Operasi menyelamat berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan jentera jengkaut milik kontraktor binaan.- Foto JBPM Sarawak
Operasi menyelamat berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan jentera jengkaut milik kontraktor binaan.- Foto JBPM Sarawak
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Dua buruh binaan warga Indonesia maut selepas dihempap dinding konkrit di tapak projek pembinaan parit di Lorong Samarindah 14B di sini pada Khamis.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimanshah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.25 pagi dan segera mengatur gerak sebuah jentera dan ambulans EMRS dari Balai Kota Samarahan dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi.

"Setiba di lokasi, pasukan mendapati mangsa dihempap dinding parit setinggi lima kaki yang runtuh.

"Dua mangsa yang terlibat merupakan pekerja buruh binaan dan masih terperangkap dalam runtuhan," katanya.

Tambah Henderi, pasukan operasi kemudian mengaktifkan kerja-kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan jentera jengkaut milik kontraktor binaan.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh paramedik Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak yang turut berada di lokasi.

Kedua-dua mangsa yang identitinya dikenal pasti sebagai Tadi, 29, dan Mustaqim, 42, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Awani

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!