Maktab perguruan tahfiz: Wujudkan atau tingkat hukuman, denda?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEBELAKANGAN ini, gelaran guru tahfiz menjadi bualan hangat di media sosial selepas salah seorang tenaga pengajar di Kelantan didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap pelajarnya.

Hal berkenaan menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti guru tahfiz dalam mengajar anak-anak mengenali ilmu agama, al-Quran dan sunah.

Bukan itu sahaja, kebanyakan ibu bapa mengambil pendekatan menghantar anak mereka ke pusat tahfiz kerana beranggapan sekolah tahfiz adalah pusat pendidikan dipenuhi ahli ulama.

Sudah semestinya mereka berasakan bahawa anak mereka berada dalam keadaan baik dan selamat di bawah pengawasan guru agama.

Bagaimanapun, kes liwat membabitkan guru tahfiz secara tidak langsung mencalarkan imej pendidik agama.

Susulan itu, ada pihak khususnya Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penubuhan maktab perguruan tahfiz bagi meningkatkan kualiti dan melahirkan guru tahfiz yang kompeten dari segi ilmu dan sahsiah.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada cadangan itu mampu untuk membendung masalah yang timbul atau sebaliknya.

SOKONG

Artikel Berkaitan:

Yakin dapat lahirkan guru berkelayakan tinggi

Saya berpandangan cadangan Pinta mahu maktab perguruan tahfiz ditubuhkan bukan sekadar ingin menyelesaikan masalah jenayah seksual sahaja.

Sebaliknya, saya melihat ia ditubuhkan untuk menjaga kualiti guru tahfiz, kebajikan tenaga pengajar, sistem pendidikan tahfiz dan sebagainya.

Secara dasarnya, saya yakin segala masalah timbul hari ini khususnya berkaitan kelakuan guru tahfiz boleh diselesaikan jika ada sistem pendidikan yang seragam dan secara tidak langsung menjadikan sekolah pondok atau tahfiz setaraf sekolah lain di negara ini.

Bukan itu sahaja, langkah penubuhan maktab tahfiz dapat memastikan tidak ada golongan bijak pandai tercicir khususnya dari pedalaman.

Ini kerana, ramai dalam kalangan mereka menggunakan kemahiran agama di sekolah tahfiz seperti menjadi imam dan mengajar al-Quran di rumah.

Saya berharap usaha ini dapat dijayakan pihak kerajaan kerana ia sekali gus memartabatkan sistem pendidikan negara dan membela masa hadapan guru agama.

Iqbal
Iqbal

- Bekerja sendiri, Iqbal Hussin, 26

Perkenal sistem pendidikan tahfiz di sekolah

Mewujudkan maktab perguruan tahfiz merupakan satu langkah yang tepat dalam memastikan sistem pendidikan agama berfungsi dengan baik.

Saya yakin dengan adanya satu sistem dikawal selia dan dijaga kerajaan, ia dapat melahirkan guru agama dan pendidikan agama berkualiti tinggi.

Sudah semestinya masalah seperti liwat tidak berlaku lagi kerana maktab perguruan tahfiz akan menapis guru yang berkelayakan sahaja dibenarkan mengajar.

Pun begitu, sebelum mewujudkan maktab ini, saya berharap pihak kementerian meneliti aspek yang perlu ambil kira seperti pelaksanaan, syarat kelayakan pemohon, kelebihan dan sebagainya.

Biarlah maktab perguruan tahfiz dibuka bukan sahaja memberi kebaikan kepada tenaga pengajar malah kepada pelajarnya.

Ini yang perlu dititikberatkan. Jangan sekadar mewujudkan maktab perguruan tahfiz tetapi segala masalah berlaku tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Segala kelompangan berkaitan sekolah guru dan pelajar tahfiz boleh diselesaikan dengan teratur melalui satu sistem berpusat.

Yasmin Diana
Yasmin Diana

- Moderator kandungan, Yasmin Diana Maryan, 26

BANGKANG

Maktab perguruan tahfiz bukan jalan penyelesaian

Saya tidak merasakan penubuhan maktab perguruan tahfiz dapat menyelesaikan masalah berlaku melibatkan guru tahfiz.

Isu berkaitan salah laku melibatkan guru tahfiz tidak boleh lagi kita tunggu. Jika mahu bina maktab semata-mata untuk mengatasi masalah itu, ia akan mengambil masa panjang.

Dalam hal ini (mewujudkan maktab guru tahfiz), ia tidak memberi jaminan bahawa guru yang lahir daripada institusi perguruan memiliki sikap baik dan terpuji.

Sebaliknya, hal ini memerlukan jalan penyelesaian segera dengan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat seperti menaikkan jumlah denda, memanjangkan hukuman penjara dan sebagainya.

Dengan adanya hukuman dan denda lebih berat, saya yakin tenaga pengajar akan lebih beringat ketika mahu melakukan kesalahan selain berhati-hati ketika menjalankan tugas.

Ini yang perlu kita beri perhatian segera. Jika mereka berkelakuan sumbang, gantung sahaja lesen mengajar supaya mereka tidak dibenarkan memasuki mana-mana pusat tahfiz.

Mohd Khairul Hisyam
Mohd Khairul Hisyam

- Pekerja industri penerbangan, Mohd Khairul Hisyam Jenal, 37

Tingkatkan hukuman lebih berat terhadap pelaku

Kes melibatkan guru tahfiz melakukan perbuatan tidak senonoh kepada pelajar bukanlah satu perkara mengejutkan kerana sudah acap kali berlaku.

Kalau diteliti semula, kebanyakan guru tahfiz memiliki kelayakan sepatutnya seperti pendidikan setaraf diploma atau ijazah dalam bidang tertentu.

Bagaimanapun, mengapa mereka masih berani untuk melakukan perkara bertentangan agama? Sedangkan mereka pendidik kepada bakal ilmuwan negara.

Bagi saya, hal ini semuanya berlaku kerana guru tahfiz itu tidak mempraktikkan ilmu dimiliki.

Mereka sepatutnya mengetepikan segala keinginan songsang dengan memperkukuh kemahiran insaniah dan jati diri.

Pada dasarnya, mewujudkan maktab perguruan tahfiz tidak dapat menyelesaikan masalah dan memakan masa lama.

Jadi pendekatan boleh diambil kini adalah dengan meningkatkan hukuman dan denda agar mana-mana guru tahfiz tidak berani berkelakuan sumbang terhadap pelajarnya.

Mohamad Amir
Mohamad Amir

- Pekerja kilang, Mohamad Amir Affendi, 32

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!