[VIDEO] Serangan pemain bola sepak: Polis tingkat tahap keselamatan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarah meningkatkan tahap keselamatan susulan kes serangan terhadap tiga pemain bola sepak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Tan Sri Razarudin Husain berkenaan keperluan polis sentiasa siap siaga.

"Kebelakangan ini berlaku serangan terhadap pemain bola sepak, saya juga meminta Ketua Polis Negara mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

"Saya turut memberi penerangan terkini berkaitan isu itu dalam Mesyuarat Kabinet pagi tadi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kementerian Dalam Negeri dan wakil industri dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, pada Rabu.

Terdahulu, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang Ahad.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin.
Saifuddin.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan.

Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri.

Pada Rabu, media melaporkan cermin belakang kereta Safiq Rahim dipecah oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), di Jalan Sri Gelam, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu, dikongsikan oleh Safiq, 36, menerusi laman media sosial Instagram miliknya sebelum tular di media sosial.

Safiq memaklumkan beliau membuat laporan polis selepas risau dengan keselamatan dirinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!