Perkeso bantu keluarga arwah Syamiru Aiman

Syamiru Aiman Bidin
Syamiru Aiman Bidin
A
A
A

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu turun padang bagi menyerahkan bayaran faedah pengurusan jenazah kepada keluarga bekas pemain tengah pasukan Hoki Terengganu (THT), Syamiru Aiman Bidin.

Bayaran berjumlah RM2,000 itu diserahkan kepada wakil keluarganya, iaitu Badrul Hisham Bidin, 40, yang juga abang Syamiru Aiman di Kampung Pua, Ajil, di sini semalam.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, bantuan itu diberikan setelah mendapat maklumat tentang pemergian atlet berusia 27 tahun itu melalui media sosial.

"Berdasarkan maklumat yang kita dapat, Perkeso dapat menjejaki waris Syamiru Aiman dan kita sedang menyemak kelayakannya di bawah pencen Penakat. Kita juga akan melihat kelayakan lain di bawah skim keilatan yang sedang dalam proses semakan.

Wan Sukairi (dua kiri) menyerahkan bantuan faedah pengurusan jenazah dari Perkeso, kepada Badrul Hisham.
Wan Sukairi (dua kiri) menyerahkan bantuan faedah pengurusan jenazah dari Perkeso, kepada Badrul Hisham.

"Untuk hari ini (semalam) kita serahkan RM2,000 kepada keluarga arwah untuk bayaran faedah pengurusan jenazah," katanya.

Turut hadir, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Adun Ajil, Maliaman Kasim; Penaung Pasukan Hoki Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibnu Amin Busu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pemain hoki THT simpan rahsia derita kanser

Sementara itu, Badrul Hisham menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang begitu prihatin dan banyak membantu mereka.

Artikel Berkaitan:

Dia yang masih terkesan dengan pemergian adiknya itu berkata, kehilangan Syamiru Aiman agak mengejutkan.

"Kami sekeluarga tidak tahu dia menghidap kanser kerana selama ini dia merahsiakannya daripada kami. Dia memang berahsia, mungkin tidak mahu menyusahkan kami.

"Saya rasa mungkin penyakit dia ini sudah lama. Tapi kerana tidak mahu menyusahkan keluarga, tambahan pula arwah mak sebelum ini sakit.

"Cuma dua bulan sejak kebelakangan ini, kesihatan dia merosot. Kadang-kadang saya tengok dia lapkan tuala basah di kepalanya, bila tanya dia ada sakit ke tapi dia kata tiada apa-apa," katanya.

Farihah (dua kiri) dan wakil Perkeso Terengganu menerangkan tentang bantuan yang akan diterima keluarga arwah, kepada Wan Sukairi (kanan) dan Maliaman (dua kanan).
Farihah (dua kiri) dan wakil Perkeso Terengganu menerangkan tentang bantuan yang akan diterima keluarga arwah, kepada Wan Sukairi (kanan) dan Maliaman (dua kanan).

Syamiru Aiman meninggal dunia Ahad lalu pada jam 11.48 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana kanser otak.

Pemain tengah itu sebelum ini pernah bermain dengan pasukan SUKMA Terengganu 2014 dan bersama THT dari tahun 2013 hingga 2016.