Suspek pecah rumah curi barang lebih RM200,000 ditahan

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang penganggur yang disyaki terlibat dengan kes pecah sebuah rumah pada Jumaat lalu di Laluan Pasir Puteh, Medan Pasir Indah di sini membabitkan kerugian lebih RM200,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dikesan memandu sebuah kereta Honda Civic di Jalan Pasir Mas, Pasir Puteh dekat sini dan ditahan pada jam 12.30 malam Isnin lalu.

"Pemeriksaan dalam kereta menemukan 45 barangan antaranya barangan kemas, serangkai kunci kereta, telefon bimbit selain 94 lagi barangan di rumah suspek di Taman Lapangan Ria termasuk dua bilah parang, sebilah kapak besi dan tiga bilah pedang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini hari ini.

Katanya, suspek ditahan selepas seorang wanita membuat laporan polis kediamannya dipecah masuk dan kehilangan barangan kemas bernilai RM140,000, seutas jam tangan berjenama berharga RM58,000 dan sebuah beg tangan berjenama berharga RM5,000.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah ganja dan direman lima hari mulai Isnin untuk siasatan.

Sementara itu, A Asmadi berkata, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 31 kerana terlibat dengan beberapa kejadian samun kedai rangkaian serbaneka 24 jam di sekitar Ipoh sepanjang bulan ini.

"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku melakukan lapan kes samun membabitkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini melibatkan nilai kerugian berjumlah RM2,397 bersama seorang lagi rakan yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 36 tahun yang merupakan pemilik sebuah kedai runcit di Taman Permai turut ditahan kerana dipercayai membeli hasil samun itu antaranya rokok.

Artikel Berkaitan:

Semua suspek direman enam hari bermula semalam untuk siasatan. - Bernama