[VIDEO] Pusat Rawatan Madinah mula beroperasi

A
A
A

MADINAH - Tabung Haji (TH) sekali lagi mendapat kebenaran untuk membuka Pusat Rawatan Madinah di Hotel Roha yang mula beroperasi pada Isnin.

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Mahyin Kudong berkata, pusat rawatan itu dilengkapi kemudahan 33 katil termasuk wad pemerhatian kecemasan, wad lelaki dan wad wanita.

Menurutnya, pusat rawatan itu juga mempunyai fasiliti untuk perubatan kecemasan, unit X-ray dan unit ujian makmal asas dan perkhidmatan sokongan seperti fisioterapi dan pakar pemakanan.

"Pusat rawatan ini akan dikendalikan oleh lima doktor termasuk dua doktor pakar kecemasan, pakar kesihatan awam dan pakar bius.

"TH turut membuka dua klinik di dua zon, iaitu Hotel Movenpick dan Hotel Emmar Royal dengan masing-masing akan diketuai oleh seorang doktor pakar keluarga di bantu oleh dua doktor lain," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Mahyin yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Perlis berkata, kekuatan pasukan perubatan TH adalah seramai 53 orang, melibatkan enam doktor pakar, 16 jururawat dan selebihnya pembantu perubatan selain petugas musim haji yang dilantik TH.

“Untuk makluman operasi kita di Madinah walaupun secara asas ikut waktu pejabat, namun kita akan menyantuni tetamu 24 jam.

Artikel Berkaitan:

Pusat Rawatan Madinah di Hotel Roha mula beroperasi pada Isnin dengan dilengkapi kemudahan 33 katil melibatkan wad pemerhatian kecemasan, wad lelaki dan wad wanita.
Pusat Rawatan Madinah di Hotel Roha mula beroperasi pada Isnin dengan dilengkapi kemudahan 33 katil melibatkan wad pemerhatian kecemasan, wad lelaki dan wad wanita.

"Kita jalankan penjadualan dan kita akan letak nombor pegawai bertugas kalau ada yang berdepan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, skop tugasan klinik meliputi khidmat seperti rawatan pesakit luar dan rawatan awal kecemasan, namun mana-mana kes kritikal akan dirujuk pada Pusat Rawatan Madinah atau Hospital Arab Saudi.

Sementara itu, Dr Mahyin mengharapkan para jemaah haji supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan cuaca panas di Makkah dan Madinah ketika ini.

“Selalu ikut pengalaman bertugas lalu, penyakit jemaah di Madinah kita tidak akan dapat lari perubahan cuaca mendadak suhu panas dan kering sehingga mengganggu gugat pernafasan kita.

“Selain batuk sakit tekak panas itu perkara biasa akan dialami. Selain itu masalah kulit jadi gatal dan pecah dan tidak kurang mereka yang alami selera makan berkurangan sebab dapat ulser pada mulut dan lidah.

“Jadi saya nasihatkan jemaah untuk ambil langkah berjaga-jaga. ALLAH akan uji kita. kita doakan mereka sihat dan dapat sempurnakan ibadat mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!