Pengarah syarikat pelaburan, isteri didakwa terima wang deposit tanpa lesen

Daniel (kiri) ketika menemani kedua-dua tertuduh (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen, pada Isnin.
Daniel (kiri) ketika menemani kedua-dua tertuduh (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pengarah syarikat pelaburan dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin, atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM68,385 daripada seorang individu.

Tertuduh, Suchart Ee @ Quah,58, dan isterinya, Kamontip @ Chim, 50, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas telah menerima deposit daripada Jamaluddin Jaafar, 57, berjumlah RM68,385 tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Giganation Gib Berhad di Taman Bukit Beruang Permai di sini, pada 22 Januari 2020.

Bagi pertuduhan berkenaan mereka didakwa di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50juta atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan mencadangkan setiap tertuduh dibenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, mereka yang diwakili peguam, S Daniel memohon jaminan rendah dengan alasan kedua-dua tertuduh mempunyai tiga orang anak yang tidak bekerja dan perlu menjaga ibu yang lumpuh.

Malah tertuduh sebelum ini menggunakan wang berjumlah RM65,000 untuk jaminan pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah selain dimaklumkan telah memulangkan semula separuh wang kepada pengadu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula ke untuk serahan dokumen.

Mereka turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak boleh mengganggu saksi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!