Kes kematian kedua wabak pneumonia

Kira-kira 12 pesakit yang disahkan positif wabak misteri tersebut di Wuhan telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital. - Foto AFP
Kira-kira 12 pesakit yang disahkan positif wabak misteri tersebut di Wuhan telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China mengesahkan kematian kedua akibat virus korona misteri yang turut menyebabkan puluhan yang lain jatuh sakit di Wuhan.

Lewat semalam, pihak berkuasa kesihatan memaklumkan seorang lelaki berusia 69 tahun meninggal dunia di Hospital Wuhan Jinyintan di wilayah Hubei selepas simptom yang dialaminya bertambah teruk pada 4 Januari lalu hingga mengakibatkan pelbagai fungsi organ rosak dan tuberkulosis pulmonari yang berkaitan paru-paru.

Kematian pertama akibat wabak pneumonia itu dilaporkan pada 9 Januari lalu melibatkan seorang lelaki berumur 61 tahun yang didakwa mengalami keadaan yang serius.

Terdahulu, pihak berkuasa Jepun turut mengumumkan kes pertama jangkitan wabak radang paru-paru tersebut melibatkan seorang pesakit yang jatuh sakit selepas kembali dari Wuhan.

Dia bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital kelmarin berikutan gejala yang dialaminya semakin berkurangan.

Kebimbangan kini semakin meningkat terhadap penyakit itu yang didakwa ada kaitan dengan virus korona baharu hingga menyebabkan pihak berkuasa Hong Kong mengambil langkah meningkatkan pemantauan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Wabak di Wuhan, China tidak dilaporkan di Malaysia. Influenza terkawal' - KKM

Ia turut mengarahkan doktor swasta supaya melaporkan sebarang kes deman dan jangkitan pernafasan yang berlaku di bandar raya tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sehingga semalam, terdapat 78 kes disyaki dilaporkan dan 66 daripadanya dibenarkan keluar dari hospital di hab kewangan Asia terbabit.

Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Wuhan memberitahu sebanyak 41 kes direkodkan dan lima daripada kini berada dalam keadaan serius. - Agensi

WHO - Foto Reuters
WHO - Foto Reuters