Kes HFMD di selatan Vietnam melonjak, catat 7 kematian

Sebanyak 20 bandar dan wilayah di rantau itu merekodkan sekitar 11,000 kes setakat tahun ini. - Gambar hiasan
Sebanyak 20 bandar dan wilayah di rantau itu merekodkan sekitar 11,000 kes setakat tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

HANOI - Wilayah selatan Vietnam menyaksikan peningkatan jumlah jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak dengan sekurang-kurangnya tujuh kematian dilaporkan setakat tahun ini, lapor media tempatan pada Selasa.

Wilayah itu juga menyaksikan peningkatan jumlah pesakit dalam keadaan serius, lapor Xinhua memetik akhbar tempatan Vietnam News.

Sebanyak 20 bandar dan wilayah di rantau itu setakat tahun ini merekodkan sekitar 11,000 kes, kebanyakannya disebabkan oleh virus Enterovirus 71 (EV71), yang boleh membawa kepada komplikasi yang teruk dan kematian, akhbar itu memetik Institut Pasteur di HCM City.

Wilayah HCM City dan Binh Duong, Dong Nai, An Giang dan Kien Giang menyaksikan peningkatan dalam jangkitan dan kes yang teruk dalam beberapa minggu lalu.

Walaupun jumlah jangkitan di HCM City berkurangan 53 peratus tahun ke tahun, jumlah kes teruk meningkat, menurut Jabatan Kesihatan bandar itu.

Bekalan ubat hospital tempatan turut terjejas akibat lonjakan kes. Hospital pediatrik di selatan menghadapi kekurangan ubat untuk merawat kes HFMD yang teruk seperti gamma globulin dan phenobarbital. - Bernama