Tunggu pengumuman PM, jangan percaya media asing - Fuziah

Fuziah ketika melancarkan lagu tema KPDN sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Ahad.
Fuziah ketika melancarkan lagu tema KPDN sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Masyarakat tidak perlu percaya atau membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan kenaikan harga minyak oleh media asing.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh sebaliknya mahu pengguna menunggu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.

Beliau mengakui penyasaran subsidi akan dilaksanakan tetapi mengikut mekanisme yang sesuai dengan kepentingan pengguna.

"Janganlah mendahului kerajaan. Kita memang ke arah penyasaran subsidi dan pihak KPDN sedang berusaha mengadakan beberapa mekanisme sebagai persiapan ke arah itu," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDN dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media asing yang mendakwa akan berlaku kenaikan harga diesel dan petrol bermula Jun ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah KPDN, Datuk Azman Ismail itu, Fuziah melancarkan lagu tema KPDN.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini sudah memaklumkan syarikat Sektor Pengangkutan Darat (barangan) boleh mendapatkan ‘fleet card’ daripada syarikat minyak pilihan bagi pembelian diesel bersubsidi jika berlaku kenaikan bahan api itu.

Fuziah menyampaikan sumbangan kepada kakitangan KPDN sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDN di sini pada Ahad.
Fuziah menyampaikan sumbangan kepada kakitangan KPDN sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDN di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada sembilan kategori lori yang membawa barangan layak mendapat subsidi selain sepuluh kategori sebelum ini yang memang sudah pun menerima keistimewaan berkenaan.

"Jadi kita sudah meminta pemilik lori dan syarikat terbabit mendaftar untuk mendapatkan 'fleed card'.

"Ini merupakan persiapan untuk penyasaran subsidi namun pengumuman itu akan dilakukan oleh kerajaan sendiri dan media asing tidak boleh mendahului kerajaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri memberitahu, Kabinet belum membuat sebarang perbincangan berhubung kenaikan harga minyak petrol dan diesel selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu.

Perdana Menteri turut memaklumkan ada siri laporan negatif oleh media tertentu dari beberapa negara jiran dan media antarabangsa.

Sementara itu, Fuzian turut mengingatkan peniaga supaya tidak tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

Beliau memberi contoh berkaitan penarikan subsidi ayam dan KPDN tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan itu.

"Pada minggu pertama kerajaan menarik subsidi ayam dan pada minggu kedua ada usaha untuk menaikkan harga sehingga tidak munasabah.

"Jadi kita terus keluarkan notis dan kenakan tindakan kerana kita tahu kos pengeluaran dan pengangkutan tidak meningkat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!