Anwar arah MCBA laksana tugas serta-merta

Anwar (tengah) menyaksikan Majlis Penyerahan Dokumen Terma Rujukan MCBA oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi (kiri) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak (dua, kanan) di Kompleks Setia Perkasa pada Khamis. Foto Bernama
Anwar (tengah) menyaksikan Majlis Penyerahan Dokumen Terma Rujukan MCBA oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi (kiri) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak (dua, kanan) di Kompleks Setia Perkasa pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) melaksanakan tugasan berkuat kuasa serta-merta, walaupun undang-undang berkaitan agensi berkenaan hanya akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

Beliau berkata, semua agensi di bawah MCBA boleh mula menempatkan pegawai dan anggota masing-masing bagi menyelaras dan memastikan pelaksanaan serta kelulusan kemasukan disegerakan, selain kawalan keselamatan dijaga, sekali gus aktiviti penyeludupan dapat dihentikan.

"Bagaimana ia dapat dilaksanakan? Saya jawab punca kuasa adalah pada pegawai berkenaan, maknanya polis ada pegawai polis, Kastam ada pegawai Kastam, jadi semuanya ada punca kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dokumen terma rujukan MCBA dan sambutan Aidilfitri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.

Anwar berkata, semua kementerian dan jabatan harus menerima arahan itu dengan menempatkan anggota dan pegawai di sempadan negara bagi melaksanakan tugasan MCBA di bawah kepimpinan Ketua Pengarah MCBA yang pertama, Datuk Seri Hazani Ghazali.

"Saya percaya mereka dapat laksanakan (tugasan) dengan jayanya," katanya.

Terdahulu Anwar menyaksikan penyerahan dokumen terma rujukan MCBA sebagai penyelaras antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan mengenai kawalan dan perlindungan sempadan negara kepada enam kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

Melalui Dokumen Terma Rujukan itu, MCBA akan menyelaras sebarang aktiviti operasi khas berkaitan dengan kawalan dan perlindungan sempadan negara melibatkan jabatan dan agensi rakan strategik yang selari dengan undang-undang, berkuat kuasa melalui mesyuarat-mesyuarat diadakan mengikut kesesuaian.

Enam kementerian itu ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lepas, Anwar mengumumkan penubuhan SBA (kini MCBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Inisiatif yang dirancang sejak 2018 itu akan menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!