Harumanis Kedah setanding Perlis, lebih 150 tan dipasarkan

Dzowahir (dua dari kanan) dan Mohd Salleh (dua dari kiri) melihat mangga Harumanis D'Aman di Fiesta Mempelam Kedah 2024 di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, Yan pada Khamis.
Dzowahir (dua dari kanan) dan Mohd Salleh (dua dari kiri) melihat mangga Harumanis D'Aman di Fiesta Mempelam Kedah 2024 di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, Yan pada Khamis.
A
A
A

YAN - Kerajaan Kedah menggalakkan lebih ramai mengusahakan kebun mangga berikutan lebih 150 tan mangga harumanis berjaya dipasarkan dengan nilai jualan melebihi RM5 juta di seluruh negara.

Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani berkata, produk dari jenama Harumanis D'Aman mula dikomersialkan pada 2022 dan semakin mendapat permintaan tinggi.

Menurutnya, mangga tersebut diusahakan 125 pengusaha membabitkan keluasan 100 hektar ladang di negeri ini.

"Sasaran kita pada 2025 nanti adalah mencapai hasil 600 tan bagi menampung permintaan tinggi di seluruh negara.

"Harumanis ini sebenarnya berasal dari Kedah, kita ada sejak 1971 tapi dikomersialkan di Perlis.

"Rasa harumanis Kedah setanding dengan keluaran negeri lain, tambahan pula kita jenamakan produk ini dengan nama Harumanis D'Aman dua tahun lalu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Fiesta Mempelam Kedah 2024 di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di sini pada Khamis.

Hadir sama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin.

Menurut Dzowahir, negeri ini memiliki kelebihan dalam keluaran mangga kerana pusat teknologi berkenaan mempunyai 111 variati mangga dari serata dunia.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri menggalakkan petani memanfaatkan permintaan tinggi terhadap mangga harumanis dengan menceburi tanaman ini.

"Mereka yang berminat boleh menghubungi terus jabatan pertanian negeri untuk mendapatkan bekalan anak pokok harumanis, baja dan sokongan teknikal serta bimbingan," ujarnya yang mahu melihat lebih ramai petani menceburi tanaman harumanis yang pasti memberi pulangan lumayan.

Beliau berkata, ketika ini Harumanis D'Aman dijual dengan harga antara RM35 hingga RM40 mengikut gred.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!