Peter Anthony nafi tuduhan ceroboh PDM BN

Mohd Shafie Apdal (tiga dari kiri) bersama sebahagian penduduk kampung ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Kampung Bambangan, Membakut hari ini. Turut hadir, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony (kanan) dan Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar (dua dari kiri). - Foto: Bernama
Mohd Shafie Apdal (tiga dari kiri) bersama sebahagian penduduk kampung ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Kampung Bambangan, Membakut hari ini. Turut hadir, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony (kanan) dan Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar (dua dari kiri). - Foto: Bernama
A
A
A

KIMANIS - Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony menyifatkan tuduhan beliau menceroboh Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) Pimping sebagai tidak berasas.

Menurut Peter, tidak timbul isu bahawa beliau dan ahli Warisan meroboh dan menurunkan bendera BN di PDM tersebut seperti didakwa Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dalam laporan media semalam.

"Apa yang berlaku kita dijemput ke kampung itu (Pimping) kerana ada kemasukan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) ke dalam Warisan dan kita datang atas jemputan.

"Kebetulan markas BN terletak bersebelahan dengan program majlis itu. Dakwaan bahawa kita biadab dan tidak sopan adalah tidak berasas," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis bersama penduduk di PDM Warisan Bandau Membakut, yang turut dihadiri Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dekat sini hari ini.

Mengenai sokongan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Parlimen Kimanis kepada Warisan, Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, sependapat dengan Mohd Shafie yang enggan menyatakan jumlah peratusan sokongan masyarakat KDM kepada Warisan.

"Tetapi berbaki tempoh kempen tinggal sehari (esok), sokongan masyarakat KDM kepada Warisan dijangka melonjak," katanya sambil menegaskan parti itu akan memastikan masyarakat KDM di Parlimen Kimanis memberi mandat kepada calon Warisan pada PRK Parlimen Kimanis.

Terdapat 29 peratus pengundi KDM di Parlimen Kimanis daripada 29,664 pemilih berdaftar dengan pengundi tertinggi adalah bumiputera Islam.

PRK Parlimen Kimanis pada Sabtu ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin. - Bernama

Artikel Berkaitan: