Petugas Tabung Haji mula berlepas ke Tanah Suci untuk persiapan operasi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pertama petugas Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1445H/2024M berlepas ke Jeddah, Arab Saudi, semalam sebagai persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji dari Malaysia.

Pasukan itu terdiri daripada 16 individu termasuk petugas kebajikan, perubatan dan petugas teknologi maklumat bagi memastikan talian kemudahan komunikasi berfungsi dengan baik sepanjang musim haji nanti.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, keberangkatan semua petugas ke tanah suci dilakukan secara berperingkat melalui beberapa siri penerbangan bermula semalam sebelum diikuti penerbangan pertama jemaah haji pada 9 Mei.

"Pasukan kedua petugas dijadual berlepas ke Jeddah esok (2 Mei) iaitu seramai 150 orang termasuk 14 pengamal media daripada pelbagai agensi antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM, Astro AWANI dan Media Prima.

"Pasukan ketiga petugas pula dijadual berlepas pada 6 Mei melibatkan 70 orang, manakala selebihnya akan berlepas bersama jemaah haji pada 9 Mei nanti," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Beliau berkata, hampir 600 petugas TH akan digerakkan ke Arab Saudi pada musim haji pada tahun ini, bagi memudahkan urusan jemaah haji.

Pada masa yang sama, beliau menasihati petugas haji agar sentiasa menjaga kesihatan supaya dapat menjalankan amanah menyantuni duyufurrahman.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas akan digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia, melibatkan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia dengan penerbangan terakhir pada 9 Jun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024 dan kelulusan itu diberikan berdasarkan jumlah 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!