TLDM lancar Penjajaran Pelan Transformasi 15to5

Abdul Rahman Foto Fail Bernama
Abdul Rahman Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melancarkan dokumen Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 berlangsung pada 6 hingga 9 Mei ini.

Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, dokumen penjajaran berkenaan amat penting bagi TLDM mengorak langkah untuk menjadi sebuah ketumbukan yang ampuh dan dinamik setaraf dengan angkatan laut negara asing yang lebih moden.

"Saya percaya, sekiranya pelan ini dilaksanakan seperti mana telah direncanakan, TLDM pasti mempunyai keupayaan diperlukannya kelak,” katanya ketika menyampaikan perutusan PTL sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, pada Selasa.

Beliau berkata, perubahan ketara juga akan dapat dilihat terutamanya menerusi perolehan aset baharu seperti Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS), kapal misi pesisir (LMSB2) dan kapal sokongan pelbagai guna (MRSS) yang sekian lama tertangguh.

"Perolehan aset ini sudah tentunya akan memperkukuh dan memperkasakan lagi barisan hadapan pertahanan negara,” katanya.

Abdul Rahman berkata, bagi meningkatkan keberkesanan organisasi dan mewujudkan saluran pemerintahan yang lebih efisyen dan relevan, TLDM akan menyusun semula saluran pemerintahan beberapa markas, merombak beberapa unit dan menubuhkan unit baharu melalui Penstrukturan Semula Organisasi TLDM 2024 atau dikenali Re-org 24.

"Antaranya penubuhan Pusat Peperangan dan Doktrin TLDM atau PUSPED TLDM bagi memperkasakan aspek peperangan dan doktrin di dalam TLDM.

"Di samping itu, hasil Re-org 24 yang dijalankan juga akan menyaksikan pelaksanaan pemurnian kepada perjawatan anggota Lain-lain Pangkat (LLP), melibatkan keseluruhan sebanyak 473 perjawatan dengan sebanyak 130 daripada perjawatan pelbagai kepakaran akan dinaikkan gred,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, landskap pertahanan yang telah berubah dan semakin mencabar ketika ini menuntut agar pertahanan negara turut diperlengkapkan sewajarnya.

Beliau berkata, TLDM kini berhadapan dengan cabaran keusangan aset dan keupayaan tempur armada semakin terhakis akibat usia aset yang meningkat.

"Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia amat memerlukan angkatan laut yang berkeupayaan bagi melindungi kedaulatan wilayah dan kepentingan maritimnya,” katanya.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan tragedi menyayat hati membabitkan dua buah helikopter TLDM, iaitu Helikopter Operasi Maritim AW 139 dan Fennec di Pangkalan TLDM Lumut pada 23 April lepas yang mengorbankan 10 nyawa.

Beliau berkata, tragedi ini ternyata memberi kesan sangat mendalam dan merupakan satu kehilangan besar buat TLDM khasnya, dan negara amnya.

"Saya yakin dan percaya, dengan tahap kompetensi dan pengalaman luas, para juruterbang kedua-dua pesawat ini pastinya telah berusaha sebaik mungkin untuk mengelak dari berlakunya mala petaka sebegini,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!