Sekolah tahfiz, swasta boleh mohon Pegawai Perhubungan Sekolah - PDRM

Wan Hassan
Wan Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak sekolah tahfiz mahupun swasta boleh memohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menempatkan pegawai dan anggota sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, permohonan ini boleh dibuat secara persendirian kepada ketua polis daerah (KPD).

"Setakat ini PPS hanya ditempatkan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sekolah tahfiz dan sekolah swasta tiada diperuntukan penempatan PPS, namun pihak berkenaan boleh memohon untuk mengadakan PPS di sekolah mereka dengan cara memohon (secara persendirian)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Wan Hassan, umumnya pihak KPD boleh menempatkan PPS setelah membuat kajian keperluan mngikut kesesuaian semasa.

Ujarnya, penempatan anggota polis sebagai PPS di sekolah mampu mengekang masalah sosial atau jenayah.

"PPS ini akan selalu berhubung dengan pihak sekolah sekali gus sebarang masalah akan diketahui dengan lebih awal sebagai langkah pencegahan selain turut terbabit dalam semua program yang dianjurkan sekolah bagi mengetahui segala perjalanan pengurusan sekolah yang membabitkan pelajar," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan polis tidak menolak kemungkinan beberapa lagi laporan polis akan dibuat oleh mangsa lain selepas seorang guru agama dicekup dipercayai meliwat tiga pelajar lelaki di sebuah pusat tahfiz di Machang dekat sini sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini, enam laporan terhadap suspek sama telah diterima pihaknya termasuk tiga laporan melibatkan pelajar tahfiz di Bachok yang berusia 12 hingga 13 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!