25 terbunuh bas terjunam gaung di utara Peru

Bas itu terdampar di Sungai Sendamal, menyebabkan beberapa penumpang hanyut dibawa arus. Foto internet
Bas itu terdampar di Sungai Sendamal, menyebabkan beberapa penumpang hanyut dibawa arus. Foto internet
A
A
A

LIMA - Seramai 25 orang terbunuh dan 13 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter di utara Peru pada Ahad malam, menurut pihak berkuasa pada Isnin.

Bas antara negeri itu membawa 50 penumpang apabila insiden itu berlaku kira-kira 10.10 malam waktu tempatan di lebuh raya Celendin, di jabatan Cajamarca, lapor Xinhua memetik ketua polis di wilayah Celendin, Hugo Uriarte, yang memberitahu media tempatan.

Beliau berkata, bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai individu di sepanjang laluan itu.

Operasi menyelamat masih diteruskan yang menghadapi kesukaran untuk akses ke lokasi insiden akibat jurang yang dalam, kata Uriarte.

Ketua Komunikasi wilayah Celendin, Jaime Herrera memberitahu TV Peru yang dikendalikan kerajaan bahawa bas itu yang terdampar di Sungai Sendamal, menyebabkan beberapa penumpang hanyut dibawa arus.

Sebahagian daripada mangsa yang terselamat termasuk pemandu bas, mengalami kecederaan serius dan telah diangkut ke hospital di Celendin dan Cajamarca.

Pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat daripada mangsa yang terselamat untuk menentukan punca kemalangan itu.

Bandar Celendin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dalam satu kenyataan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh. Ia juga mengisytiharkan tempoh berkabung selama 72 jam di seluruh wilayah itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!