MOM harap Malaysia kekal anjur Sukan SEA 2027

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan menghantar resolusi kepada Kementerian Belia dan Sukan merayu agar Malaysia kekal menjadi penganjur Sukan SEA 2027.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, resolusi itu yang disokong oleh semua persatuan sukan pada mesyuarat MOM kali Ke-209 pada Isnin bagi memastikan penganjuran sukan tersebut berada pada landasan tepat.

Menurutnya, kebimbangan timbul mengenai tuan rumah Sukan SEA itu susulan sebelum ini Malaysia telah menolak tawaran untuk menganjurkan Sukan Komanwel baru-baru ini.

"Kita akan menghantar surat kepada Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh untuk memberitahu keputusan sebulat suara daripada seluruh warga sukan tanah air yang diwakili oleh persatun sukan yang hadir pada mesyuarat kita pada hari ini.

"Kita tidak mahu ada sebarang halangan penganjuran ini kerana ia melibatkan imej dan maruah negara. Selepas menolak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel, ada yang bertanya nasib Sukan SEA yang akan diadakan di negara ini.

"Jadi, untuk berhadapan dengan Federasi Sukan SEA (SEAGF), kita perlu mempunyai keyakinan bahawa kerajaan bersama dalam penganjuran ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-209 pada Isnin.

Dalam pada itu, Norza juga tidak mahu atlet negara tertanya-tanya dan bimbang mengenai penganjuran ini terutama melibatkan latihan dan persiapan atlet.

"Kami tidak mahu atlet bimbang dengan kejutan-kejutan. Saya harap resolusi ini membawa suara di akar umbi dan mahu kerajaan meneliti dengan baik agar penganjuran Sukan SEA di negara ini terus berada pada landasan tepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!