Legenda EPL puji padang SNBJ

Liverpool Reds muncul juara Battle of The Reds selepas menumpaskan Manchester Reds 4-2 di Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto: Bernama
Liverpool Reds muncul juara Battle of The Reds selepas menumpaskan Manchester Reds 4-2 di Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) boleh menarik nafas lega apabila menyajikan padang yang baik buat legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika beraksi dalam Battle of The Reds di Stadium Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu.

Malah pemain Manchester Reds dan Liverpool Reds memuji keadaan rumput yang cantik dan bersedia untuk kembali beraksi pada masa akan datang.

Pujian turut diberikan kepada ribuan peminat yang begitu bersemangat menyokong idola mereka.

Pengurus Manchester Reds, Teddy Sheringham mengakui teruja dengan keadaan di stadium dan memuji para peminat kerana memberikan sorakan padu buat kesemua legenda.

“Saya sangat gembira melihat ramai yang hadir ke stadium dan saya berikan 10/10 berkaitan atmosfera di sini.

"Stadium yang besar dan penyokong yang sentiasa bersorak dan buatkan saya berbangga untuk turut serta dalam perlawanan ini.

“Keadaan padang juga cantik dan rata yang membuatkan kami dapat bermain bola sepak dengan baik. Tidak ada aduan berkaitan padang dan kami sedia untuk kembali bagi menebus maruah Manchester Reds,” katanya.

SNBJ sebelum ini kerap menjadi 'bahan' peminat bola sepak apabila dikaitkan dengan kerosakan padang dan rumput terkopak.

Artikel Berkaitan:

Nada sama turut dikongsi oleh legenda Liverpool Reds, Glen Johnson yang gembira dengan suasana stadium dan keadaan padang yang dianggap baik serta membantu mereka mencipta kemenangan.

“Ia sangat baik kerana anda dapat mendengar penyokong berada di belakang anda setiap masa.

"Saya juga berikan 10/10 buat penyokong hingga kami berjaya mendapat keputusan yang dimahukan malam ini (Sabtu).

“Padang berada dalam keadaan yang baik dan kami berjaya buktikan Liverpool sentiasa lebih bagus berbanding Manchester United,” katanya.

Dalam aksi itu, Liverpool Reds mengungguli aksi dengan kemenangan 4-2 hasil jaringan hatrik Djibril Cisse dan Florent Sinama, manakala dua jaringan Manchester Reds hasil sentuhan Dimitar Berbatov dan Danny Webber.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!