Tabik Sang Garuda

Pratama Arhan (kiri) antara pemain Garuda Muda yang menyerlah ketika aksi menentang Korea Selatan. (Gambar kecil: Jamal Nasir)
Pratama Arhan (kiri) antara pemain Garuda Muda yang menyerlah ketika aksi menentang Korea Selatan. (Gambar kecil: Jamal Nasir)
A
A
A

KEJAYAAN skuad bola sepak Indonesia mencipta kejutan dalam pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) Qatar 2024 disifatkan bukan sesuatu yang menghairankan.

Sebaliknya, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan keseriusan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dimantapkan sokongan kelab-kelab di republik berkenaan.

“Saya percaya Indonesia tidak hanya telah melakukan persediaan rapi tetapi juga fokus sepenuhnya untuk Piala Asia B-23 ini.

“Malah, mereka juga mendapat sokongan penuh daripada kelab-kelab dalam membantu menyediakan pemain yang diperlukan setiap kali mendapat panggilan negara.

“Apabila mereka fokus kepada memantapkan segala aspek skuad Garuda Muda, maka pasukan dibarisi pemain pelapis ini dapat menyempurnakan tugasan masing-masing di Piala Asia B-23.

“Secara peribadi saya lihat batch skuad Indonesia Piala Asia Qatar 2024 ini sudah boleh menggantikan skuad senior Garuda sekarang, akan menyerlah dalam dua tiga tahun,” katanya kepada Sukan Sinar.

Garuda Muda kendalian Shin Tae-yong mencipta sensasi pada B-23 Qatar 2024 apabila menyingkirkan pasukan pilihan Korea Selatan, 11-10 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 di suku akhir bagi menyambar slot separuh akhir.

Anak buah Tae-yong menyingkap kempen Kumpulan A Qatar 2024 dengan tunduk 0-2 kepada Qatar sebelum menjinakkan Australia, 1-0 diikuti membelasah Jordan 4-1 untuk muncul naib juara kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, Jamal yang juga bekas pemain pertahanan Harimau Malaya dan Pahang itu menyifatkan sikap sambil lewa terhadap skuad Harimau Muda Qatar 2024 menjejaskan perkembangan pasukan pelapis negara pada masa depan.

“Bukan maksud saya skuad Harimau Muda anak tiri, cuma kita tidak beri tumpuan penuh selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir B-23 Qatar 2024.

“Semua pihak bermula dari kelab hingga ke badan induk perlu bekerjasama meletakkan keutamaan dalam memulihkan semula imej pasukan bola sepak negara.

“Namun, sekiranya tiada kerjasama, kita tengok sahajalah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam bertambah mutu, seterusnya maju dalam bola sepak,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!