X

Kindly register in order to view this article
!

TNB berjaya kerana Dasar Penswastaan Negara: Tun M

Dr Mahathir pada sidang media ketika merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur Ibu Pejabat TNB di sini hari ini.- Foto- BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih pelbagai pengiktirafan adalah kerana berani melakukan perubahan walaupun dianggap melawan arus.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kejayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu meletakkan TNB sebagai satu daripada 'success story' dasar dan program penswastaan yang diperkenalkan sebelum ini.

"Bank Dunia dalam laporannya, 'Doing Business 2020' menyatakan bahawa Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga keempat bagi urusan mendapatkan elektrik. Laporan Bank Dunia itu menilai 190 negara/ekonomi dan pencapaian kita adalah satu lonjakan besar berbanding pertama kali dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011, yang mana kita berada di tangga ke-60.

"Kejayaan ini telah secara langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan yang lebih besar dan membawa kepada perkembangan sektor korporat," katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur di Ibu Pejabat TNB di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dr Mahathir berkata, melalui Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan pada 1983, TNB yang ketika itu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) adalah antara agensi kerajaan yang telah disenaraikan untuk melalui proses penswastaan.

"Antara objektif utama penswastaan adalah mengurang beban kewangan kerajaan. Pada masa sama, ia diyakini akan membawa banyak faedah kepada organisasi itu sendiri, termasuklah kakitangannya.

"Hasil penswastaan LLN, lebih 20,000 kakitangan ketika itu menjadi pemegang saham, menikmati gaji dan struktur gaji yang lebih baik serta pelbagai faedah termasuk bonus dan sebagainya," katanya.

Beliau menambah, penswastaan TNB telah membawa banyak manfaat kepada rakyat negara ini termasuk perkhidmatannya bertambah baik dan produktiviti meningkat hasil sistem imbuhan berdasarkan prestasi.

Selain itu katanya, lebih 60 peratus saham TNB dipegang oleh pelbagai Syarikat-Syarikat Pelabur Berkaitan Kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

"Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada puluhan juta pemegang akaun badan-badan berkenaan.

"Bayaran dividen bukan sahaja dinikmati oleh para pelabur tetapi juga rakyat biasa yang mendapat faedah melalui caruman dan simpanan masing-masing.

"Kita merenung kembali perubahan dan pencapaian TNB sejak penswastaan supaya kita sedar bahawa kejayaan pada hari ini adalah hasil usaha dan perancangan lampau," katanya dan menambah kata TNB sudah tiga kali merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada World Branding Awards dengan terbaru bagi tahun 2019.

Beliau kemudian mengucapkan tahniah kepada TNB dan warganya serta merakamkan penghargaan atas usaha syarikat itu yang terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat dan negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus