Kerajaan tubuh MKKKA tambah baik pengurusan isu keselamatan negara

Muhyiddin- Foto: BERNAMA
Muhyiddin- Foto: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Konsultatif Keselamatan dan Ketenteraman Awam (MKKKA) akan ditubuhkan bagi menambah baik pengurusan isu berkaitan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pakar dan tokoh-tokoh bidang berkaitan untuk menganggotai majlis itu.

"Kita sudah sediakan panduannya dan ini mengambil sedikit masa sebelum mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh saya sendiri dapat dilaksanakan pada suku tahun ini," katanya.

Menurutnya, MKKKA berfungsi untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan, cadangan terus dari kalangan pimpinan dalam masyarakat mengenai perancangan dan program dilaksana kementerian.

"Mengenai apa yang sedang kita laksanakan, penambahbaikan, pindaan undang-undang yang sesuai," katanya.

Selain itu MKKKA merupakan saluran untuk pihak berkepentingan menyampaikan ketidakpuasan hati mengenai penguatkuasaan dan standard operasi prosedur (SOP) KDN dan agensinya.

"Ini dapat merapatkan hubungan dengan masyarakat," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jamil Rakon dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, negara kini sedang berhadapan dengan isu keselamatan dan ketenteraman yang semakin mencabar terutamanya jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber.

"Adalah mustahak untuk kita mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah dari tempatan dan antarabangsa," katanya.

Sementara itu katanya, KDN akan terus mengekang dan membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan melalui The New Non Profit Organization (NPO) Financial Environment Management menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

"Inisiatif ini akan mengenalpasti pertubuhan-pertubuhan berdaftar yang disalahgunakan untuk tujuan pengubahan wang haram dan membiayai aktiviti keganasan," katanya.