Bayi pramatang derita usus, ginjal diluar badan

Nurul Suhada dan Abdul Rahim bersama bayi mereka, Abdul Raihan di kediaman di Kg Binjai Bongkok, Marang
Nurul Suhada dan Abdul Rahim bersama bayi mereka, Abdul Raihan di kediaman di Kg Binjai Bongkok, Marang
A
A
A

MARANG - Sayu apabila melihat seorang bayi pramatang berusia 36 hari menderita pelbagai komplikasi penyakit termasuk usus dan ginjal berada di luar badan (cloacal exstrophy).

Abdul Raihan Abdul Rahim mula dikesan mengalami komplikasi penyakit itu sewaktu masih berada di dalam kandungan ibunya pada usia 28 minggu.

Bapanya, Abdul Rahim Razak 26, berkata ketika itu dia dan isteri, Nurul Suhada Che Mahmud 25, bertemu doktor pakar untuk menentukan jantina bayi mereka.

"Waktu itu doktor beritahu jantina Abdul Raihan tidak dapat ditentukan kerana dia mengalami masalah pada tali pusat dan selepas usia kandungan 33 minggu, barulah kita dapat tahu usus dan ginjalnya berada di luar badan.

"Pada hari pertama dilahirkan, pihak hospital menjalankan pembedahan pada bahagian usus. Jadi, dia kini terpaksa membuang air besar melalui lubang yang ditebuk di bahagian abdomen kerana tidak mempunyai dubur selain hanya satu sahaja buah pinggang yang berfungsi," katanya.

Abdul Rahim berkata, anak keduanya itu turut mengalami kecacatan dinding abdomen (major omphalocele), kekurangan hormon tiroid (hypothyroidism) dan pembentukan organ pembiakan lelaki yang tidak sempurna sejak dalam kandungan.

"Jantina Abdul Raihan terpaksa ditentukan melalui ujian deoksiribonukleik (DNA) kerana organ kelakiannya tidak terbentuk dengan lengkap selain turut mengalami masalah tulang belakang bengkok," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Binjai Bongkok, di sini, hari ini.

Abdul Rahim yang bekerja sebagai kelindan lori berkata, bayinya yang dilahirkan seberat 1.8 kilogram (kg) pada 9 Disember di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) lalu kini telah mencecah 2.4kg.

Artikel Berkaitan:

"Pihak hospital beritahu sebarang perkembangan mengenai masalah kesihatan anaknya akan dimaklumkan pada April depan bergantung kepada tahap kesihatan anaknya itu.

"Mungkin selepas ini dia akan menjalani pembedahan lagi bagi masalah buah pinggang atau komplikasi penyakit yang lain," katanya.

Sementara itu, Nurul Suhada berkata, sebagai ibu dia pada mulanya tidak dapat menerima hakikat bayinya berdepan pelbagai komplikasi penyakit.

Bagaimanapun, katanya, dia belajar untuk menerima takdir itu dan akan berusaha yang terbaik bagi memastikan bayinya membesar dengan sihat.

"Pada awalnya memang saya tidak dapat menerima ketentuan ini kerana setiap ibu yang melahirkan anak sudah tentu mengharapkan bayi yang dilahirkan sihat.

"Dengan sokongan suami dan kedua-dua keluarga saya, saya dapat satu kekuatan dan dapat menerima takdir ini. Cuma sekarang saya akan berusaha untuk memberikan yang terbaik demi masa depan Abdul Raihan," katanya.

Nurul Suhada berkata, Abdul Raihan kini memerlukan penjagaan rapi dengan ubat-ubatan, lampin pakai buang dan susu khas yang menelan kos lebih RM600 setiap bulan.

Katanya, dia bersyukur kerana kisah anaknya itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri sejak ia tular.

"Saya bersyukur kerana ramai pihak yang prihatin termasuk kerajaan negeri memberikan sumbangan," katanya yang sering berulang alik ke HSNZ untuk rawatan bayinya itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan keluarga tersebut mendapat perhatian dan sumbangan dalam bentuk yang sesuai.

"Keluarga ini boleh mengemukakan permohonan bantuan menerusi Tabung Darul Iman dan tabung Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) serta menerima sumbangan sara diri sebanyak RM350 sebulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Mana-mana pihak yang berhasrat membantu boleh hubungi talian 014-2546378.