Malaysia, Jepun bincang potensi kerjasama dalam sektor pembinaan

Pertemuan delegasi KKR bersama Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Kokuba Konosuke di pejabatnya di Tokyo. Foto Facebook Alexander Nanta Linggi
Pertemuan delegasi KKR bersama Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Kokuba Konosuke di pejabatnya di Tokyo. Foto Facebook Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Jepun setuju adakan perbincangan lanjut dengan Malaysia dalam aspek teknikal berhubung sektor pembinaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu Pendigitalan Sektor Pembinaan Negara, beliau yakin Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.

Menurutnya, pertemuan delegasi Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Kokuba Konosuke menjadi kesinambungan hubungan baik kedua-dua negara yang telah dimeterai sejak 65 tahun lalu.

“Semasa pertemuan empat mata antara saya dan Kokuba, kami telah berbincang, di samping bertukar-tukar pandangan melibatkan polisi pembinaan kedua-dua negara dan bertekad untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor teknologi serta digitalisasi pembinaan.

“Seterusnya, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun, perkongsian maklumat berhubung kait pengurusan serta penyelenggaraan lebuh raya dan cerun, juga pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Delegasi KKR bertemu Kokuba di pejabatnya di Tokyo, Jepun pada Selasa dan turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan Timbalan Ketua Setiausaha KKR (Sektor Dasar dan Pembangunan), Datuk Zahrul Hakim Abdullah.

Seterusnya, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah, Datuk Ir Badioezaman Ab Khalik; Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Sazali Haru.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, perbincangan turut tertumpu kepada potensi kerjasama yang boleh diteroka oleh kedua-dua pihak dalam sektor pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, KKR amat teruja dan menghargai maklum balas daripada pihak Jepun untuk mempertimbangkan cadangan dan jemputan program antarabangsa anjuran agensi LLM dan CIDB yang akan diadakan pada tahun ini.

Tambah beliau, dua program yang akan dilaksanakan adalah Highway Concession Conference pada 24 hingga 25 September 2024 dan International Construction Week pada November 2024.

“Saya berharap pertemuan empat mata ini akan memberi hasil positif dengan dimuktamadkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dihasratkan untuk dimeterai pada suku kedua 2024 dan seterusnya pada program KKR sempena Ekspo Dunia Osaka 2025.

“Perjanjian persefahaman itu diharapkan dapat membuka peluang kepada pemain industri sektor pembinaan Malaysia meneroka pasaran Jepun selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang mana Malaysia dan Jepun adalah ahli dalam CPTPP ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!