'Sebak tak dapat tatap jenazah Along kali terakhir' - Adik Mohd Shahrizan

Mohd Shahril tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita di Taman Bunga Tanjung, Lekir.
Mohd Shahril tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita di Taman Bunga Tanjung, Lekir.
A
A
A

LUMUT - Pilu hati adik-beradik apabila tidak dapat menatap wajah abang sulung mereka buat kali terakhir selepas dimaklumkan bahawa keranda yang membawa jenazah Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, tidak dibenarkan buka.

Adiknya, Mohd Shahril, 40, berkata, mereka bagaimanapun memahami prosedur yang dijalankan berikutan keadaan jasad akibat nahas udara dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa.

Menurutnya, momen terakhir hanya dapat lihat pada beg mayat yang membawa jenazah Allahyarham untuk dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Yang berpeluang lihat adalah kedua ibu bapa kami dan adik bongsu, Nur Syakila, 28, ketika membuat pengecaman di Hospital Angkatan Tentera Lumut. Saya tiba lewat ketika itu kerana berada di Lembah Beringin, Selangor.

"Mungkin isteri dan anak-anak Allahyarham dapat lihat juga kerana mereka berada di Ipoh untuk menguruskan jenazah di sana.

"Terkilan juga apabila kami tidak dapat menatap wajah Along kerana keranda sudah 'seal' daripada hospital. Kami faham dan dapat sentuh keranda sudah memadai sebagai tanda perpisahan," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bunga Tanjung, Lekir pada Ahad.

Gambar terakhir Allahyarham Mohd Shahrizan (belakang, kanan) bersama ibu bapa dan empat beradik yang lain. Foto pembaca
Gambar terakhir Allahyarham Mohd Shahrizan (belakang, kanan) bersama ibu bapa dan empat beradik yang lain. Foto pembaca

Mohd Shahril berkata, abangnya itu amat rapat dengan kesemua enam adiknya dan mengambil berat keperluan kedua ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir jumpa pada awal Syawal apabila kesemua adik-beradik dapat berkumpul untuk menyambut hari raya bersama.

"Tidak pernah kami berkumpul bersama kerana kerjaya masing-masing. Tidak sangka gambar beraya bersama menjadi kenangan terakhir bagi kami semua," katanya.

Jenazah Mohd Shahrizan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir dan Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, dan tiga anak masing-masing berusia 21, 20 dan 15 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!