Allahyarham Amirulfaris hasrat beli rumah di Perak - Rakan baik

Suasana di kediaman keluarga Allahyarham di Taman Senawang Perdana pada Rabu.
Suasana di kediaman keluarga Allahyarham di Taman Senawang Perdana pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi yang terkorban dalam nahas helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Selasa, berhasrat untuk membeli sebuah rumah di Perak.

Rakan baik Allahyarham, Leftenan Komander Helman Hashim, 35, berkata, Allahyarham melalui ejen memintanya untuk menguruskan penghantaran dokumen bagi tujuan pembelian tersebut ke Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) pada Jumaat lalu.

"Tetapi saya baru berkesempatan untuk menyelesaikan urusan tersebut semalam dan saya cuba menghubunginya pada hari sama tetapi tidak dapat.

"Bagaimanapun saya dapat tahu mengenai insiden yang menimpa Allahyarham di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Perak sebab saya bertugas di Pejabat Bahagian Operasi TLDM," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Allahyarham di Taman Senawang Perdana di sini pada Rabu.

TLDM pada Selasa mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian jam 9.32 pagi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, semasa kejadian, semua kru terlibat sedang mengikuti sesi latihan sempena perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Dalam pada itu, Helman berkata, Allahyarham Mohammad Amirulfaris dikenali sebagai seorang yang sangat baik serta tidak pernah memarahi rakan sekerja yang muda mahupun sudah berusia.

Artikel Berkaitan:

"Allahyarham memang baik, saya sudah mengenalinya sejak tahun 2007 dan duduk di rumah yang sama. Allahyarham pun memang bijak dan minat dalam bidang penerbangan lebih-lebih lagi bahagian taktikal," katanya.

Sementara itu, tinjauan pemberita di rumah keluarga Allahyarham mendapati saudara-mara serta sahabat handai mula hadir selepas solat Asar.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Taman Senawang Perdana terlebih dahulu sebelum dikebumikan malam ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!