Helikopter TLDM terhempas: Proses bedah siasat hampir selesai

Sivanesan bersama Adly (dua dari kiri) menyantuni ahli keluarga dan waris keluarga yang berkumpul di ruang khas disediakan di HRPB Ipoh. Foto: Pejabat Exco Perak
Sivanesan bersama Adly (dua dari kiri) menyantuni ahli keluarga dan waris keluarga yang berkumpul di ruang khas disediakan di HRPB Ipoh. Foto: Pejabat Exco Perak
A
A
A

IPOH - Proses bedah siasat ke atas 10 jenazah pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Lumut hampir selesai.

Prosedur yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sejak semalam itu kini telah berada di peringkat akhir.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, semua pegawai perubatan terlibat telah bertungkus-lumus sejak malam tadi untuk memastikan proses bedah siasat berjalan lancar dan selesai segera.

"Kita ucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kesihatan yang terlibat termasuk Jabatan Kesihatan Negeri.

"Mereka tidak tidur sejak semalam dan bekerja keras bagi memastikan proses bedah siasat berjalan lancar.

"Saya difahamkan proses pengurusan jenazah ini dapat diselesaikan pada jam 1 petang," katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Forensik HRPB di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau menziarahi waris mangsa yang berkumpul di ruang khas disediakan di hospital berkenaan.

Turut kelihatan, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Artikel Berkaitan:

Sivanesan ketika bercakap kepada pemberita pada Rabu.
Sivanesan ketika bercakap kepada pemberita pada Rabu.

Sivanesan berkata, kerajaan negeri akan menyediakan bantuan khas kepada tiga kru TLDM dari Perak yang turut terkorban dalam tragedi tersebut.

Katanya, bantuan itu termasuklah bantuan pendidikan kepada anak-anak mangsa yang ditinggalkan.

"Kerajaan Perak akan bersama dengan keluarga mereka dan tetap akan menjaga mereka sepertimana kita buat semasa Covid-19 di mana anak-anak kehilangan ibu bapa kita bantu dari segi pendidikan dan sebagainya," katanya.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Kesemua jenazah tiba di Jabatan Forensik HRPB Ipoh kira-kira jam 6 petang pada Selasa untuk proses bedah siasat.

Jenazah sebelum itu ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Lumut untuk proses pengecaman ahli keluarga dan waris.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!