Arsenal ajar Chelsea di Emirates

Leandro Trossard (kanan) membuka pesta gol Arsenal di Emirates. Foto: Agensi
Leandro Trossard (kanan) membuka pesta gol Arsenal di Emirates. Foto: Agensi
A
A
A

ARSENAL mengukuhkan kedudukannya di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah jiran tetangga, Chelsea 5-0 dalam derbi London di Stadium Emirates awal pagi Rabu.

Leandro Trossard membuka jaringan seawal minit keempat untuk meletakkan Arsenal di hadapan, namun beberapa peluang terhidang selepas itu gagal dimanfaatkan sebaiknya anak buah Mikel Arteta yang menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Di babak kedua, The Gunners memperkemaskan serangan dan hasilnya mereka berjaya menambah empat lagi gol menerusi Ben White dan Kai Havertz yang masing-masing meledak dua gol dalam perlawanan tersebut.

Kemenangan besar itu menyaksikan Arsenal memiliki kelebihan gol lebih baik berbanding pesaing mereka Liverpool dan Manchester City.

Bagi Chelsea pula, kekalahan di Emirates menambahkan lagi kekecewaan mereka selepas tersingkir daripada separuh akhir Piala FA pada Sabtu lalu.

Menuju ke garisan penamat EPL, Arsenal yang mempunyai empat baki perlawanan kini menikmati kelebihan empat mata ke atas City dan tiga mata ke atas Liverpool.

City dan Liverpool bagaimanapun mempunyai kelebihan dua dan satu baki perlawanan untuk terus menghimpit Arsenal.

Musim lalu, Arsenal terlepas trofi kejuaraan EPL apabila dipintas saat akhir oleh City.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!