Helikopter terhempas: Isteri juruterbang baru bertukar ke Perak

Sivanesan menunjukkan gambar mendiang yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa.
Sivanesan menunjukkan gambar mendiang yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa.
A
A
A

BERUAS - Hampir tiga bulan berjauhan, hasrat seorang isteri untuk tinggal bersama selepas melangsungkan perkahwinan Januari lalu tidak kesampaian apabila suaminya terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Selasa.

Mendiang Leftenan T Sivasutan, 31, yang juga juruterbang Skuadron 502 antara sembilan kru yang terbabit dalam kejadian melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.

Sepupu, M Sivanesan, 23, berkata, mendiang telah melangsungkan perkahwinan dengan isterinya yang juga doktor gigi pada 25 Januari lalu.

Tambahnya, isteri mendiang yang enggan dikenali baru sahaja melaporkan diri di sebuah premis kesihatan di Teluk Intan pada Isnin.

"Perkahwinan mereka diaturkan keluarga dan dalam tempoh itu isterinya akan pulang setiap hujung minggu kerana bertugas di Pulau Pinang untuk bersama mendiang dan ibu bapa mentuanya di Sitiawan.

"Cuma dia dapat bertukar ke Teluk Intan dan melapor diri semalam kerana mahu tinggal dekat dengan mendiang," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mendiang di Taman Serdang Jaya dekat Sitiawan.

Ahli keluarga mendiang menerima kehadiran sanak saudara yang datang ke kediaman mendiang di Taman Serdang Jaya dekat Sitiawan.
Ahli keluarga mendiang menerima kehadiran sanak saudara yang datang ke kediaman mendiang di Taman Serdang Jaya dekat Sitiawan.

Sivanesan berkata, tragedi itu juga turut memberi kesan kepada kedua ibu bapa mendiang, M Thanjappan dan R Parameswary, masing-masing berusia 60-an.

Artikel Berkaitan:

"Mereka masih lagi tidak boleh terima kenyataan kerana mendiang merupakan satu-satunya anak lelaki.

"Mereka yang berada di sebuah kuil Teluk Intan untuk upacara keagamaan terpaksa berpatah balik ke Lumut.

"Keadaan isteri dan ibu bapa mendiang masih dalam keadaan lemah kerana terlampau sedih hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga selepas menerima khabar duka pagi ini," katanya.

Dia juga menyifatkan sepupunya itu sebagai seorang ahli keluarga yang baik dan sentiasa bertolak ansur.

"Mendiang selalu berpesan supaya tengok-tengokkan keluarganya.

"Mendiang seorang yang sangat baik, dia tidak pernah tinggikan suara apabila bercakap.

"Dia minat bidang ketenteraan dan memang cita-citanya mahu menjadi anggota TLDM," katanya.

Sivanesan berkata, mendiang yang juga bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sudah berkhidmat bersama TLDM hampir lapan tahun lalu dan sebelum ini mendiang pernah berkhidmat di Sandakan, Sabah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!