SC menang saman sivil dagangan orang dalam, dapat RM2.015 juta

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memenangi saman sivil dagangan orang dalam terhadap bekas ketua pegawai eksekutif GW Plastics Holdings Bhd Lim Kok Boon dan rakannya Cheah Mean Har, yang diarah membayar SC sejumlah RM2.015 juta.

Mahkamah Tinggi, yang hari ini membuat keputusan memihak kepada SC, telah memerintahkan Kok Boon, 66, yang juga pengarah eksekutif bukan bebas syarikat itu pada masa berkenan serta Mean Har, 47, masing-masing membayar SC, RM142,500 duit dari hasil haram iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh Mean Har daripada pelanggaran dagangan orang dalam.

"Kok Boon dan Mean Har juga dikehendaki membayar penalti sivil masing-masing sejumlah RM1 juta serta RM500,000. Selain itu, mahkamah memerintahkan Kok Boon dan Mean Har membayar kos masing-masing RM200,000 dan RM30,000 kepada SC.

"Kok Boon juga dilarang dilantik sebagai pengarah syarikat senaraian awam bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh penghakiman mahkamah pada 22 April 2024. Mahkamah Tinggi mendapati Kok Boon telah melanggar Seksyen 188(3)( a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) apabila beliau menyampaikan maklumat penting bukan umum kepada Cheah,” kata SC dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut SC, Mean Har kemudiannya memperoleh saham GW Plastics pada 25 September dan September 27 pada 2012, serta didapati bertanggungjawab oleh Mahkamah Tinggi atas pelanggaran di bawah seksyen 188(2)(a) CMSA.

Maklumat penting tersebut berkaitan dengan perjanjian penjualan saham yang dicadangkan antara GW Plastics dan Scientex Packaging Film Sdn Bhd selain cadangan pengagihan hasil tunai hasil daripada perjanjian penjualan saham kepada pemegang saham GW Plastics.

Maklumat itu diumumkan oleh GW Plastics kepada Bursa Malaysia pada 3 Oktober 2012.

"Keputusan ini akan bertindak sebagai penghalang terhadap dagangan orang dalam, menandakan keazaman SC untuk menegakkan integriti pasaran. Akauntabiliti bersama orang dalam korporat termasuk peniaga menggariskan komitmen SC dalam menangani salah laku pasaran dan penyalahgunaan yang boleh menjejaskan integriti pasaran modal,” kata SC.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua Kok Boon dan Mean Har telah memfailkan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi hari ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!