Ringgit meningkat berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa ditutup hari ini berikutan penurunan Indeks Dolar AS (DXY), kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.7750/7785 berbanding dolar AS daripada 4.7810/7855 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang serantau lain seperti rupiah Indonesia, peso Filipina, won Korea dan rupee India turut meningkat berbanding dolar AS.

"Kami yakin pasaran akan terus berhati-hati dengan penilaian kecenderungan menaikkan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS terhadap ekonomi AS.

"Sehubungan itu, angka Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS pada Jumaat yang merupakan tolok inflasi pilihan Fed akan dipantau dengan teliti,” katanya kepada Bernama.

Di tempat lain, minyak mentah Brent kekal hampir kepada AS$90 setong walaupun terdapat ketidaktentuan mengenai ketegangan Timur Tengah.

Di lokasi lain, minyak mentah Brent kekal hampir kepada paras AS$90 setong meskipun dilanda ketidaktentuan disebabkan ketegangan di Timur Tengah.

"Secara keseluruhannya, pasaran pertukaran asing kekal berhati-hati pada masa ini," kata Mohd Afzanizam.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi pandangan yang sama, Pengarah Urusan SPI Aset Management, Stephen Innes berkata, data ekonomi AS utama yang akan diumumkan lewat minggu ini, terutama Keluaran Dalam Negara Kasar AS dan bacaan PCE teras, boleh mempengaruhi hala tuju ke hadapan Fed.

Beliau berkata, pasaran berisiko mengharapkan data yang kurang memberangsangkan, yang turut dapat memberikan sokongan kepada ringgit.

"Walaupun perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia terus menjadi faktor negatif yang penting bagi ringgit, ketegangan yang mereda baru-baru ini di Timur Tengah telah mengurangkan permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS.

"Sehubungan itu, terdapat perubahan tidak ketara dalam aliran mata wang apabila peserta pasaran menentukur semula penilaian risiko mereka sebagai respons kepada perubahan dinamik geopolitik," kata Innes.

Melihat kepada landskap makroekonomi, beliau berkata anjakan positif yang mula wujud dalam kitaran pembuatan global dijangka meningkatkan pertumbuhan global.

Trend ini boleh mengurangkan tahap kekuatan dolar AS dalam jangka sederhana, sekiranya risiko yang tidak diduga seperti ketegangan yang meningkat di Timur Tengah tidak berlaku.

"Akhirnya, peniaga tempatan juga akan memantau dengan teliti sebarang isyarat intervensi pertukaran asing oleh Jepun, terutama dengan mesyuarat dasar Bank of Japan yang dijadualkan pada akhir minggu ini.

"Apa-apa intervensi dijangka meningkatkan ringgit buat sementara waktu," kata Innes.

Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0852/0877 daripada 3.0947/0978 semasa ditutup pada Jumaat, menokok berbanding pound Britain kepada 5.8938/8981 daripada 5.9533/9589,

manakala berbanding euro, ringgit meningkat kepada 5.0859/0896 daripada 5.0961/1009 sebelumnya.

Ia diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9044/9198 daripada 12.9668/9847 semasa ditutup pada Jumaat dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5041/5069 daripada 3.5113/5149.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.31 daripada 8.30/8.32 dan kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 293.9/294.4. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28