'Bagaimana kamu boleh kata ini bukan masalah kamu', KJ kritik Anwar

Khairy dalam Program Podcast Keluar Sekejap episod 97 membicarakan Titah Adendum YDPA ke-16 berhubung tahanan rumah Najib.
Khairy dalam Program Podcast Keluar Sekejap episod 97 membicarakan Titah Adendum YDPA ke-16 berhubung tahanan rumah Najib.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelar sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak seolah-olah tidak mengetahui Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 berhubung tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bahawa hal berkenaan bukan masalah yang perlu diselesaikan olehnya.

“Bagaimana kamu (Anwar) mengatakan ini bukan masalah kamu? Sedangkan lima daripada menteri kamu terlibat dalam hal ini.

“Tiga respondennya ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Dua lagi menteri kamu ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pergi ambil gambar titah itu dan kelima orang yang ambil Zafrul punya gambar (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), macam mana boleh kata kamu (kerajaan) tidak terlibat?” soalnya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 97 bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar menegaskan kerajaan tidak akan mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh YDPA dan Raja-Raja Melayu dalam sesuatu isu termasuk permohonan Najib berkaitan tahanan di rumah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan mengenai hal berkenaan melibatkan dua pihak iaitu Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan YDPA.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khairy mendakwa, tindakan kerajaan seolah-olah tidak mengetahui Titah Adendum itu dengan harapan ia akan ‘lenyap’ tanpa disedari dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

“Dia tak sangka bahawa Zahid, secara tiba-tiba akan buat afidavit ini. Zahid pandai untuk ‘makan keliling’.

"Dalam kes tertentu, dia sudah 'makan' Anwar... sebab dia sudah jadi Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Dakwa Khairy, Ahmad Zahid bertindak sedemikian kerana takut bahawa penyokong Najib mengetahui Titah Adendum dan menuntut waktu ia akan dilakukan.

Dakwanya, tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa wujud titah tambahan dan hal tersebut akan membuatkan Najib gembira terhadap tindakannya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28