[VIDEO] Undi Melayu kunci kemenangan PN di Kuala Kubu Baharu - Pas

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Undi kaum Melayu menjadi kayu pengukur bagi menentukan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak lama lagi.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu antara yang perlu diberi penekanan oleh jentera parti sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, Pas akan mengerahkan seramai mungkin jenteranya untuk membantu kempen calon tersebut demi memastikan kemenangan PN.

"Saya percaya sekiranya itu dapat dimaksimumkan, undi jika maksimum daripada komuniti Melayu diperoleh, saya rasa itu merupakan kunci yang besar untuk kita mencapai kemenangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas istiadat pembukaan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.

Ahmad Samsuri (tengah) menyerahkan titah ucapan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika istiadat pembukaan penggal kedua DUN ke-15 di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Isnin.
Ahmad Samsuri (tengah) menyerahkan titah ucapan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika istiadat pembukaan penggal kedua DUN ke-15 di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Isnin.

Ahmad Samsuri berkata, Pas terbuka untuk menerima siapa sahaja menjadi calon mewakili PN pada PRK berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu, Pas akan kerahkan jentera kerana yang akan bertanding nanti adalah PN, daripada parti mana sekalipun itu akan diputuskan oleh kepimpinan dalam mesyuarat khas PN petang ini.

"Mesyuarat berlangsung di Kuala Lumpur untuk membincangkan secara terperinci mengenai calon yang akan dipilih.

"Namun, saya tak pasti sama ada mesyuarat akan terus umum nama calon atau ada satu majlis pengisytiharan yang lain untuk umumkannya... bergantung kepada ketetapan mesyuarat petang ini," katanya.

Ditanya mengenai keyakinan PN untuk memenangi PRK tersebut pula, Ahmad Samsuri berkata, berdasarkan data-data dan respons semasa, kemenangan adalah berpihak kepada PN setakat ini.

"Kajian sikap yang kita buat bagi pihak PN sendiri dan kajian daripada pihak luar termasuk Merdeka Centre juga menunjukkan populariti kerajaan negeri yang ada di Selangor dan kerajaan Pusat agak menurun.

"Itu menjadi 'plus point' pada kedudukan PN untuk mencalonkan individu yang terbaik di PRK Kuala Kubu Baharu nanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei dan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28