MsPuiyi failkan saman sivil terhadap bekas rakan kongsi

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Pempengaruh dan pelakon Siew Pui Yi memfailkan saman sivil terhadap bekas rakan kongsi perniagaannya kerana didakwa menipunya menyebabkan beliau mengalami kerugian RM4.3 juta.

Selebriti internet berumur 25 tahun yang lebih dikenali sebagai MsPuiyi itu berkata, beliau memfailkan saman sivil terhadap lelaki berumur 29 tahun itu secara dalam talian melalui peguamnya, K. Mahendren, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.

Beliau mendakwa lelaki itu yang juga bekas ahli lembaga pengarah syarikatnya memperdayakannya untuk menyerahkan wang bagi menyelesaikan tunggakan cukai pendapatannya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun lepas.

"Saya menfailkan tindakan sivil ini terhadap lelaki itu kerana dia (lelaki) menipu dan memperdaya saya untuk menyerahkan kira-kira RM4.3 juta, dengan menjanjikan beliau dapat menyelesaikan isu cukai pendapatan saya dengan LHDN.

"Seterusnya saya dapati beliau tidak menyelesaikan masalah cukai pendapatan saya. Disebabkan tindakan itu saya telah mengalami kerugian. Tindakan sivil yang saya failkan adalah untuk mendapatkan semula jumlah wang ditipu oleh beliau," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Siew berkata, dia mengenali lelaki itu melalui seorang rakan pada 2019 sebelum mereka menjadi rakan kongsi perniagaan dan beliau melantik lelaki itu sebagai ahli lembaga pengarah syarikatnya, sekali gus menguruskan hal ehwal sumber manusia dan pelaburan dana syarikat.

Menurutnya beliau juga telah membuat laporan polis pada 24 Oktober lepas berkenaan kes itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: