[VIDEO] 'Umum peruntukan tidak ikut musim' - Kor Ming

A
A
A

GERIK - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengingatkan bahawa penyaluran peruntukan kerajaan di bawah Program Sentuhan Kasih tidak dilakukan mengikut musim terutama pilihan raya.

Beliau berkata, pengumuman peruntukan itu dilakukan menerusi jelajah seluruh negara sebagai komitmen kerajaan Malaysia Madani yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

"Seperti hari ini saya bangun awal pagi untuk membawa program Sentuhan Kasih KPKT ke sempadan negeri di Gerik.

"Gerik tak ada pilihan raya kecil, tetapi sentuhan kasih tetap sampai juga. Ini adalah bukti sebuah kerajaan yang sentiasa bekerja tanpa mengira musim," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Gerik pada Isnin.

Sempena lawatan itu, KPKT meluluskan peruntukan sebanyak RM4.58 juta bagi menambah baik infrastruktur awam dan kampung baharu di sekitar kawasan Gerik termasuk Lenggong dan Pengkalan Hulu.

Kor Ming (tengah) menurunkan tanda tangan sebagai gimik perasmina Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Gerik pada Isnin.
Kor Ming (tengah) menurunkan tanda tangan sebagai gimik perasmina Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Gerik pada Isnin.

Kor Ming berkata, peruntukan tersebut meliputi pelaksanaan 22 projek pembangunan di bawah seliaan Majlis Daerah Gerik dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Menurutnya, sejumlah RM1.7 juta diluluskan kepada Majlis Daerah Gerik membabitkan kerja-kerja antaranya menyelenggara Pasar Awam Gerik, pembaikan longkang lama berhampiran Kampung Baru Batu Dua dan menaik taraf tapak pasar malam Gerik.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan sebanyak RM2.88 juta pula disalurkan kepada JPKK bagi melaksanakan 15 projek pembangunan setempat seperti menurap semula jalan, menaik taraf sistem perparitan dan membina tembok penahan konkrit.

"Semua peruntukan ini diluluskan berasaskan prestasi atau performance-based budget bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT dalam penambahbaikan infrastruktur awam dapat terus dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang diberikan di satu-satu kawasan bukannya mudah kerana perlu melalui proses kelulusan yang rumit.

Kor Ming (tujuh dari kiri) menyempurnakan Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Gerik pada Isnin.
Kor Ming (tujuh dari kiri) menyempurnakan Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Gerik pada Isnin.

"Kerana itu kita perlu pastikan, ia membawa manfaat yang optimum kepada penduduk setempat.

"Sama-samalah kita berdoa supaya kerajaan yang ada ini diberikan kekuatan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

Dalam lawatan itu, Kor Ming turut merasmikan Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua dan meninjau projek menambah baik infrastruktur awam dan kerja-kerja pengindahan kawasan di Kampung Air Kala, Pasar Awam Gerik dan Kampung Kuala Rui.

Media melaporkan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar tindakan pengumuman penyaluran peruntukan RM5.21 juta oleh KPKT kepada penduduk di daerah Hulu Selangor menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang disifatkan melanggar garis panduan mengenai pilihan raya yang bersih.

Menurut Jawatankuasa pemandu Bersih, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dan menggunakan pengaruh tidak wajar terhadap masyarakat di kawasan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!