'Cadangan tak masuk akal' - Sanusi

Muhammad Sanusi. Gambar fail
Muhammad Sanusi. Gambar fail
A
A
A
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan cadangan melantik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi Bersama Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) sebagai tidak masuk akal.

Beliau berkata, ini kerana pemilihan pengerusi bersama dibuat berdasarkan kepada punca kuasa dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, keperluan mewujudkan MTPN adalah untuk menyelaraskan projek pembangunan negeri antara agensi-agensi negeri dan Persekutuan merangkumi pelantikan menteri besar dan seorang menteri daripada Persekutuan sebagai pengerusi bersama.

“Atas kapasiti apa mahu ganti saya dengan Mahdzir? Cadangan itu atas kapasiti beliau (Mahdzir) sebagai apa? wakil rakyat atau jawatan apa?

“Perdana Menteri menamakan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai pengerusi bersama dengan saya, itu punca kuasanya, lain daripada itu tidak boleh. Sebab itu saya kata cadangan dia tak masuk akal langsung, cakap tak guna otak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencadangkan agar Mahdzir dilantik sebagai Pengerusi Bersama MTPN bagi memastikan projek-projek kerajaan Persekutuan di Kedah berjalan lancar.

Menurutnya, perkara tersebut wajar dipertimbangkan kerajaan selepas banyak projek lambat dan tertangguh disebabkan hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan yang tidak sehaluan.

Sanusi menempelak sikap semborono Shaiful Hazizy yang didakwa tidak meneliti punca kuasa melibatkan arahan pekeliling tersebut.
Artikel Berkaitan:


“Saya nasihatkan untuk apa-apa cadangan selepas ini, baca dulu. Janganlah kerana ada jawatan dalam politik tak baca, dan terus cadang, nampak kurang cerdik kan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya beliau menyarankan agar dimansuhkan arahan pekeliling berkenaan berikutan kerajaan negeri dan Persekutuan tidak sehaluan politik, ia harus dikemukakan kepada Perdana Menteri.

“Cadanglah kepada Perdana Menteri, tak boleh cadang pada saya. Jangan asyik berpolitik 24 jam,” ujarnya.

Sanusi memaklumkan, hubungan Persekutuan dengan negeri harus berlandaskan sistem federalisme dan amalan demokrasi selepas pembentukan kerajaan, bukan lagi bersifat kepartian.

“Selepas selesai pilihan raya, negeri dan Persekutuan tidak lagi berhubung atas dasar politik kepartian. Hubungan yang terjalin atas dasar perjanjian pembentukan Malaysia.

“Hubungan antara negeri dan Persekutuan rujuklah perjanjian pembentukan Malaysia, bukan kerana sebab parti sama boleh berhubung, parti tak sama tak boleh berhubung. Berfikirlah secara negarawan, bukan politik 24 jam,” katanya.

Menurutnya, hubungan kerajaan dengan kerajaan mengesahkan beliau mewakili kerajaan negeri Kedah dan bukan mewakili Pas atau kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sama juga di pihak sana, mereka tidak mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi mewakili Kerajaan Persekutuan. Ia dalam situasi berbeza (politik dan kerajaan),” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28