Cadang Mahdzir dilantik Pengerusi Bersama MTPN Kedah

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah mencadangkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Pengerusi Bersama Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) bagi membantu projek-projek kerajaan Persekutuan di Kedah agar berjalan dengan lancar.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkara tersebut wajar dipertimbangkan kerajaan selepas melihat banyak projek lambat dan tertangguh kerana hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan yang tidak sehaluan.

Selain itu katanya, hanya UMNO sahaja yang mempunyai akar umbi yang kukuh dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri yang sudah pasti akan memudahkan urusan pentadbiran MTPN untuk menyelesaikan isu rakyat.

"Menurut pandangan peribadi saya, Mahdzir adalah orang yang paling tepat untuk menggalas jawatan Pengerusi Bersama MTPN Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, jawatan Pengerusi Bersama MTPN Kedah perlu diberikan kepada individu yang mempunyai hasrat dan hala tuju yang selari dengan kerajaan Persekutuan.

"Asas dan punca sebenar kepada isu ini adalah disebabkan hubungan kerajaan Persetukuan dan kerajaan negeri yang tidak sehaluan dan tidak selari menyebabkan lebih banyak bergaduh daripada bekerja, lebih banyak buat salah daripada cari solusi dan akhirnya rakyat menderita.

"Apabila kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mempunyai hubungan yang baik, projek kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di negeri Kedah seperti projek pembangunan kuaters Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Ayer Langat dan pembinaan mahkamah baharu di Sik sudah pasti akan berjalan dengan lancar.

"Konsep check and balance (semak dan seimbang) juga akan lebih telus kerana kedua-dua pihak akan lebih terbuka untuk mengemukakan kritikan dan teguran tanpa perlu risau apa-apa perkara," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya, Pengerusi bersama MTPN Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepatutnya menggunakan UMNO kerana parti itu mempunyai pengalaman menjadi pembangkang di negeri Kedah.

"Rakyat hendak lihat kerjasama yang baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Sudah hampir empat tahun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi Menteri Besar dan sudah berapa tahun 'meratibkan' idea The Greater Kedah 2035.

"Prestasi semasa Sanusi yang tidak habis berkelahi dengan Persekutuan, mungkin Kedah tidak akan menjadi The Greater Kedah pun," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!