Bersatu serah pada Hamzah keluar notis terhadap YB sokong Anwar

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA KUBU BAHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengeluarkan notis berhubung status kedudukan tujuh wakil rakyatnya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti sudah pun berbincang dan membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

"Kita buat keputusan untuk ambil langkah-langkah yang telah kita persetujui dalam tempoh seminggu ini.

"Kita juga sudah serahkan kepada pihak Setiausaha Agung untuk melaksanakannya. Jadi, tunggu sahajalah (tindakan lanjut)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 Bersatu di sini pada Ahad.

Sebelum ini dilaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada tujuh ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan yang menyokong perdana menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan meneruskan sokongan tersebut atau sebaliknya.

Ia susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti berkuat kuasa 1 April lalu.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 2 April lepas telah meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu berkenaan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khasnya.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan, Muhyiddin berkata, sekiranya wakil rakyat berkenaan kekal menyokong perdana menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa, kerusi mereka akan dikosongkan.

Enam ahli Parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ia turut melibatkan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!