Kontraktor rugi RM625,577 terpedaya 'petua' pelaburan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara mempercayai 'petua' pelaburan yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp, seorang kontraktor terpaksa menanggung kerugian RM625,577 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 41 tahun itu mula menerima 'tips' berkaitan pelaburan melalui WhatsApp pada 3 Disember 2013 sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan bernama 'X-1 GS (Asia) Securities Division' pada 3 Januari lalu.

Menurutnya, kumpulan media sosial tersebut menyalurkan maklumat berkenaan testimoni pelabur yang telah menerima keuntungan serta petua saham Malaysia yang kononnya dikatakan akan meningkat.

Tambah Mazli, pihak 'syarikat' itu turut menawarkan untuk menanggung kerugian sebanyak 75 peratus atas pelaburan yang dibuat.

"Terpedaya dengan janji manis itu, mangsa telah mendaftar di platform yang diberikan oleh pihak berkenaan pada 6 Februari lalu.

"Mangsa telah membuat pindahan ke akaun syarikat pelaburan itu sebanyak RM625,577 bermula 12 Februari lalu, namun telah dikeluarkan daripada kumpulan berkenaan pada 6 April lalu.

"Mangsa juga gagal menghubungi pihak syarikat dan mendapati grup berkenaan sudah tidak aktif. Mangsa kemudiannya mengambil keputusan membuat laporan polis pada 16 April lalu,"katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mazli berkata, sebanyak 1,588 laporan membabitkan kes jenayah komersial diterima bermula 1 Januari sehingga 13 April lalu dan jumlah itu menurun berbanding 1,838 laporan diterima dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut sebanyak 318 kertas siasatan telah dibuka berbanding 416 kertas siasatan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Pihak polis turut menerima sebanyak 98 laporan dalam tempoh seminggu bermula 14 April lalu berbanding hanya 58 laporan pada minggu sebelumnya.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 20 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM 1,327,004,"ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mazli menasihati orang ramai supaya membuat semakan di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melalui pautan, https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Katanya, semakan perlu dilakukan sebelum membuat pelaburan dengan mana-mana syarikat atau melakukan transaksi kewangan ke dalam akaun tidak pasti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!